SEORANG pekerja kilang Muhammad Hafizi Muhammad Rizal, 22,maut dalam kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Jalan Pintasan Semeling, Sungai Petani malam tadi.
Muhammad Hafizi meninggal dunia akibat cedera parah di kepala dalam nahas sekitar jam 9 malam itu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati nahas berlaku apabila dua kereta, Perodua Axia dan Perodua Bezza yang masing-masing dipandu dua wanita bergerak dari arah Lembah Bujang menghala Semeling.
“Ketika kedua-dua kereta sedang bergerak di laluan berkenaan, tiba-tiba sebuah motosikal Yamaha 135 LC ditunggang mangsa dari arah bertentangan terbabas ke laluan mereka sebelum penunggang motosikal terjatuh atas jalan.
“Akibat jarak terlalu dekat, pemandu dua kereta itu tidak sempat mengelak dan melanggar penunggang motosikal. Mangsa cedera parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, ” katanya di sini hari ini.
Hanyan berkata, jenazah kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat, manakala pemandu Bezza, iaitu jurujual berusia 28 tahun dan pemandu Axia, penuntut berusia 21 tahun tidak mengalami kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.






