MENTERI Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merasmikan Program AI@NADI Peringkat Negeri Sembilan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Seri Menanti.
Program ini dilaksanakan secara serentak di 62 buah NADI di seluruh negeri sebagai usaha memperluas akses pembelajaran kecerdasan buatan (AI) kepada komuniti setempat.
Program AI@NADI anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini merupakan sebahagian daripada teras “Pembelajaran Sepanjang Hayat” di bawah Program Perkhidmatan Pintar NADI yang memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran digital komuniti melalui latihan berasaskan keperluan semasa.
Menurut MCMC, melalui kelas yang ditawarkan, peserta dibimbing secara praktikal untuk memanfaatkan aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam pelbagai bidang termasuk pendidikan, pekerjaan, keusahawanan, tugasan harian dan pembangunan komuniti.
‘’Program ini turut menekankan aspek penggunaan teknologi secara selamat, beretika serta bertanggungjawab,’’ kata MCMC dalam kenyataan.

Menurut MCMC, Program AI@NADI ditawarkan secara percuma dan terbuka kepada semua lapisan masyarakat termasuk pelajar, belia, usahawan serta komuniti setempat, selaras dengan peranan NADI sebagai platform pembelajaran digital yang inklusif dan mudah diakses.
Kata MCMC, pelaksanaan program itu juga menyokong aspirasi Fahmi untuk melahirkan sekurang-kurangnya seorang Prompt Engineer di setiap NADI bagi memperkukuh penguasaan teknologi AI di peringkat komuniti.
‘’Inisiatif ini bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat, khususnya golongan muda untuk menguasai kemahiran baharu yang relevan dengan keperluan masa depan, malah berpotensi mewujudkan peluang pekerjaan dan menjana nilai ekonomi di peringkat setempat.
‘’Prompt Engineer juga berperanan sebagai pemudah cara dan pakar rujuk komuniti dalam membantu masyarakat memahami, meneroka serta memanfaatkan teknologi AI secara lebih berkesan dan produktif,’’ kata MCMC.






