Keadilan perlu berasaskan keperluan, bukan persamaan – PM

KONSEP keadilan dan ihsan perlu difahami secara lebih menyeluruh dalam konteks pembangunan negara, termasuk dalam usaha menangani isu kemiskinan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dalam wacana dan naratif politik semasa, keadilan sering ditafsirkan secara sempit mengikut negeri atau kaum, sedangkan ia seharusnya berasaskan keperluan sebenar rakyat.

“Kadang-kadang dalam wacana dan naratif politik dalam negara ini, keadilan itu dimaknakan mengikut negeri, kadang-kadang ikut kaum. Padahal, ia mesti ikut apa yang diperlukan.

“Kalau sesuatu kaum itu majoritinya miskin, maka kita kena beri perhatian. Sebab itu, kalau lihat kemiskinan negara, majoritinya masih Melayu Bumiputera, selain kelompok India dan masyarakat Orang Asli yang juga perlu ditangani.

“Sebab itu saya ingat, kefahaman tentang apa makna keadilan dan ihsan itu sangat penting,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) Kali Ke-10 di Putrajaya hari ini, lapor Buletin TV3.

Dalam perkembangan sama, Anwar berkata penjawat awam dan pemimpin di semua peringkat perlu menghayati konsep Malaysia MADANI dalam setiap urusan pentadbiran dengan memberi keutamaan kepada keadilan sosial serta kesejahteraan rakyat.

“Setiap langkah dan setiap keputusan mesti memikirkan rakyat, bagaimana untuk menjana pertumbuhan itu satu kewajaran dan bagaimana untuk mengagihkannya itu satu kemestian.

“Kalau tidak, kita gagal memaknai kemerdekaan, demokrasi dan pertumbuhan kerana semuanya mesti menjurus kepada keadilan sosial,” ujarnya.

Anwar berkata, konsep keadilan perlu difahami sebagai justice is fairness, iaitu mewujudkan kesaksamaan peluang yang sebenar kepada semua pihak.

“Kita mahu keadilan di sini. Kadang-kadang kelompok Melayu, Cina, India, Sarawak dan Sabah. Tetapi keadilan itu bukan bermaksud semua mesti sama rata.

“Sebaliknya, keadilan bermaksud kita beri bantuan mengikut keperluan. Sekolah di Kapit, di Manek Urai atau sekolah di kawasan elit, pendekatannya tidak boleh sama.

“Kalau kita beri jumlah yang sama kepada sekolah anak orang kaya dengan sekolah di Ulu Tembeling, kemudian kita anggap itu adil, itu bukan keadilan,” jelasnya.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img