POLIS membuka kertas siasatan berhubung kejadian pergaduhan membabitkan dua pelajar sekolah di padang bola sebuah masjid di Seksyen 19, Shah Alam Jumaat lalu, yang mengakibatkan seorang daripada mereka mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Sarudin Samah berkata, pihaknya menerima laporan daripada bapa kepada salah seorang pelajar terbabit berhubung kejadian yang berlaku kira-kira jam 1 tengah hari.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kedua-dua pelajar lelaki berusia 13 dan 14 tahun itu saling mengenali serta belajar di sekolah yang sama.
Katanya, insiden pergaduhan itu hanya membabitkan dua pelajar berkenaan namun dipercayai turut disaksikan beberapa pelajar lain yang berada di lokasi kejadian.
“Susulan kejadian, salah seorang pelajar mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam dan disahkan mengalami kecederaan tisu lembut (soft tissue injury),” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, polis akan menjalankan siasatan secara menyeluruh termasuk mendapatkan perintah menjalankan siasatan selain memanggil semua saksi yang berada di lokasi bagi membantu siasatan.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
“Jika disabitkan kesalahan, pelaku boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohammad Amirul Zulkifli di talian 012-5583436 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.






