KONSULAT Jeneral Republik Indonesia (KJRI) di Johor Bahru tampil memberikan perlindungan dan bantuan kepada dua wanita warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa penderaan fizikal oleh majikan mereka.
Jurucakap KJRI berkata, kedua-dua mangsa yang dikenali sebagai YY dan SH kini ditempatkan di kediaman sementara milik konsulat itu bagi tujuan perlindungan serta menerima bantuan lanjut.
Menurutnya, pihak KJRI menerima aduan berhubung kejadian itu pada 13 Jun lalu daripada seorang daripada mangsa, YY, yang memaklumkan dirinya serta dua lagi warga Indonesia iaitu YA dan SH didakwa menjadi mangsa keganasan fizikal ketika bekerja sebagai pembantu rumah.
Katanya, berdasarkan maklumat diterima, ketiga-tiga wanita itu dipercayai mengalami penderaan berulang yang berlaku sejak penghujung tahun lalu dan berlarutan hingga Januari tahun ini.
“Selepas kejadian, mereka didakwa ditinggalkan oleh majikan di kawasan Kampung Melayu Majidee.
“Disebabkan mahu terus bekerja di Malaysia, mereka kemudian berpisah dengan YA menuju ke Kuala Lumpur manakala YY dan SH kekal berada di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati ketiga-tiga wanita terbabit berada di negara ini tanpa permit kerja yang sah selain pasport mereka dipercayai masih dipegang majikan.
Keadaan itu, katanya, menyebabkan mereka takut untuk mendapatkan bantuan atau membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Bagaimanapun, YY akhirnya tampil melaporkan perkara itu kepada KJRI sebelum tindakan segera diambil bersama pihak polis,” katanya.
Menurutnya, berdasarkan maklumat diperoleh, Polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Johor Bahru Utara sudah menahan empat individu pada 13 Jun lalu bagi membantu siasatan.
Pada masa sama, KJRI dengan kerjasama Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur sedang mengesan seorang lagi mangsa, YA, bagi membolehkan wanita itu turut diberikan perlindungan dan bantuan.
Semalam, media melaporkan dua pasangan suami isteri ditahan polis kerana disyaki mencederakan pembantu rumah di sebuah kediaman di Taman Johor, Tampoi.
Polis turut menahan empat suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun bagi membantu siasatan lanjut.






