DUA lelaki menjadi mangsa penculikan di Tumpat dan Pasir Mas selepas dipercayai dijadikan cagaran bagi menekan seorang ahli keluarga yang gagal melunaskan hutang berjumlah RM33,000 berkait kegiatan dadah dan penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
Kedua-dua mangsa masing-masing berusia 51 dan 35 tahun bagaimanapun ditemukan dalam keadaan selamat di Mundok, Thailand oleh pihak berkuasa negara itu dua hari selepas kejadian pada 6 Jun lalu.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa bukan peminjam sebenar, sebaliknya menjadi sasaran susulan kegagalan saudara mereka menyelesaikan hutang tersebut.
Menurutnya, seorang daripada mangsa yang berusia 51 tahun turut mempunyai 24 rekod jenayah lampau.
“Susulan kejadian itu, polis menahan empat lelaki dan seorang wanita bagi membantu siasatan.
“Peminjam sebenar iaitu lelaki berusia 25 tahun bersama teman wanitanya turut ditahan dan kini direman sehingga 22 Jun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.
Mohd Yusoff berkata, siasatan mendapati hutang RM33,000 yang menjadi punca kejadian dipercayai mempunyai kaitan dengan kegiatan dadah serta penyeludupan PATI.
Katanya, polis kini masih memburu dua suspek utama dikenali sebagai Mohamad Syamsul Azroy Che Anuar, 32, dan Hamzah Muhamad, 40, yang dipercayai melarikan diri ke Thailand.
Menurut beliau, kedua-dua suspek dipercayai turut bertindak membakar sebuah Perodua Myvi di Gelang Emas, Pasir Mas yang dipercayai digunakan semasa melakukan penculikan.
“Polis Kelantan turut mendapatkan kerjasama polis Thailand bagi membantu mengesan kedua-dua suspek yang dipercayai sedang bersembunyi di negara jiran.
“Kedua-dua suspek yang dikehendaki itu masing-masing mempunyai 10 rekod berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.






