Rohingya Sungai Tekali: Isu kebersihan, kesihatan jadi kebimbangan penduduk

KEWUJUDAN penempatan warga asing di beberapa kawasan sekitar Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat terus menimbulkan kebimbangan penduduk tempatan.

Isunya bukan lagi sekadar melibatkan soal penempatan, tetapi turut memberi kesan kepada aspek keselamatan, kesihatan dan penggunaan kemudahan awam.

Kebimbangan itu disuarakan penduduk yang mendakwa komuniti warga asing seperti etnik Rohingya di kawasan berkenaan semakin bertambah sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Syahrizal Mohamad.

Seorang penduduk tempatan, Syahrizal Mohamad, 49, berkata antara perkara yang dibimbangi ialah kesan terhadap kemudahan awam serta aspek kesihatan masyarakat setempat.

Menurutnya, walaupun terdapat sebahagian daripada mereka mempunyai status perlindungan, ia bukan jaminan untuk mengelakkan isu lain timbul dalam komuniti.

“Kita bukan menolak mereka mencari rezeki, sebab kita nampak ada yang ambil upah kutip besi buruk dan barang-barang terpakai.

“Tetapi apabila sesuatu aktiviti itu mula dimonopoli dalam kelompok tertentu, ia memberi kesan kepada penduduk sedia ada yang sebelum ini turut menjalankan pekerjaan sama,” katanya ketika ditemui Utusan Melayu Plus.

Beliau berkata, penduduk juga bimbang mengenai isu kebersihan dan kesihatan kerana status pemeriksaan kesihatan komuniti terbabit tidak diketahui secara jelas.

“Kalau kebersihan tidak dijaga, nanti timbul isu kesihatan. Bila berlaku masalah kesihatan, akhirnya masyarakat sekitar juga akan terkesan.

“Selain itu, kita lihat kemudahan awam seperti padang bola semakin digunakan secara meluas. Bukan kita tidak benarkan mereka beriadah, tetapi apabila terlalu ramai menggunakan satu-satu kawasan, ia menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan penduduk lain,” katanya.

Pada masa sama, beliau berharap perkara itu dipantau lebih awal supaya tidak menjadi isu yang lebih besar pada masa depan termasuk membabitkan aspek keselamatan dan struktur penempatan.

Ismail Abd Hamid.

Sementara itu, Bilal Masjid Taman Indah Jaya, Ismail Abd Hamid, 67, berkata setakat ini beliau tidak melihat berlaku gangguan secara langsung terhadap penduduk setempat.

Bagaimanapun katanya, perkara yang dibimbangkan adalah pertambahan komuniti itu yang dilihat semakin ketara.

“Sekarang ini belum nampak mereka buat kacau, cuma yang dirisaukan jumlah mereka semakin ramai dan mula tinggal di rumah-rumah yang lebih besar.

“Penduduk juga ada kebimbangan berkaitan kebersihan dan kesihatan kerana perkara itu boleh memberi kesan kepada komuniti sekitar jika tidak dikawal dengan baik,” katanya.

Jefri Md Amid.

Dalam pada itu, Pengerusi Taman dan Nazir Masjid Batu 14, Jefri Md Amid, 56, berkata sepanjang lebih sedekad kebelakangan ini, komuniti warga asing di kawasan berkenaan dilihat lebih banyak terbabit dalam aktiviti mengutip barangan terpakai dan besi buruk.

Menurutnya, setakat ini tiada gangguan besar direkodkan, namun pergerakan keluar masuk kawasan serta pertambahan aktiviti ekonomi dalam komuniti itu tetap menimbulkan persoalan dalam kalangan penduduk.

“Kalau soal berniaga mungkin ada persaingan terutama kepada peniaga kecil dan pasar malam kerana mereka ada komuniti sendiri.

“Tetapi isu yang lebih besar sebenarnya bukan hanya di kawasan sini, sebaliknya bagaimana perkara ini ditangani secara menyeluruh termasuk soal dokumen, kesihatan dan kawalan kemasukan,” katanya.

Beliau berkata, isu berkenaan perlu dilihat secara lebih holistik dan tidak hanya tertumpu kepada satu kawasan kerana melibatkan pelbagai aspek pengurusan serta penguatkuasaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img