SEORANG pelajar lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Batu Pahat hari ini, atas pertuduhan melakukan perbuatan tidak senonoh dengan menunjukkan kemaluan serta kelucahan melampau terhadap ibu kandungnya dalam kejadian awal bulan ini.
Tertuduh berusia 17 tahun membuat pengakuan itu sebaik kedua-dua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa Bahasa Mandarin di hadapan Majistret Arun Noval Dass.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengaibkan kehormatan dengan menyuruh ibu kandungnya berusia 43 tahun ‘membuat sesuatu’ terhadapnya di sebuah rumah dalam daerah ini, 5 petang, 1 Jun lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa membuat kelucahan melampau terhadap ibunya dengan kesemua perbuatan ini berlaku pada tarikh, waktu dan lokasi sama.
Dia dakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga dua tahun.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Tan Song Yan daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Berdasarkan laporan, pada jam 4.30 petang hari kejadian, tertuduh didakwa menonton video lucah dalam bilik tidurnya yang menyebabkan dia teransang.
Disebabkan gagal mengawal diri, tertuduh mencari ibunya yang sedang mandi dalam bilik air. Tertuduh kemudiannya mengetuk pintu bilik sambil meminta ibunya membuka.
Sebaik membuka pintu, ibunya mendapati tertuduh menanggalkan seluarnya hingga nampak alat sulit dan meminta wanita itu ‘melakukan sesuatu’.
Wanita itu terkejut lalu memasuki semula bilik air dan mengunci dari dalam. Oleh kerana bimbang dengan aksi kelucahan melampau anaknya, wanita itu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.
Susulan pengakuan bersalah tertuduh, mahkamah menetapkan 19 Ogos ini bagi perbentangan laporan akhlak daripada pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), fakta dan perintah.
Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,500 namun gagal membayarnya sebelum dihantar ke Pusat Koreksional Muar bagi menjalani tahanan sementara.






