
KERAJAAN kekal komited meneruskan subsidi bersasar kepada kumpulan layak walaupun berdepan implikasi kewangan yang semakin meningkat.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penerima Program Budi Madani terus menikmati harga diesel bersubsidi RM1.99 seliter dengan kuota 200 liter sebulan, manakala subsidi bagi sektor pengangkutan awam, pengangkutan barangan dan nelayan turut diteruskan.
“RM1.99 bagi penerima BUDI MADANI itu mencukupi dengan kuota 200 liter bagi setiap individu yang layak.
“Bagi SKDS pula, RM2.15 untuk sektor pengangkutan barangan dan RM1.88 bagi pengangkutan awam juga terus dikekalkan, begitu juga subsidi nelayan walaupun implikasi kewangannya cukup besar,” katanya di Kota Kinabalu hari ini.
Beliau berkata, pengurusan subsidi, kerajaan perlu memastikan dana awam yang diperuntukkan disalurkan kepada golongan dan sektor yang benar-benar layak serta tidak berlaku ketirisan.
‘’Subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sahaja mencecah RM2 bilion sepanjang tahun lalu, manakala trend peningkatan yang ketara turut direkodkan tahun ini susulan konflik di Asia Barat dan krisis tenaga global,’’ katanya.
Armizan berkata, jumlah subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak pada Januari tahun ini adalah RM103 juta dan meningkat kepada RM106 juta pada Februari, namun angka tersebut melonjak kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April.
“Jumlah subsidi diesel Sabah dan Sarawak pada tahun lalu adalah RM2 bilion, tetapi bagi empat bulan pertama tahun ini sahaja ia sudah mencecah RM1.4 bilion.
“Ini adalah dana awam dan duit rakyat yang perlu kita uruskan dengan baik. Kerajaan komited untuk terus menyalurkan subsidi kepada rakyat dan industri secara bersasar, tetapi pada masa sama kita perlu memastikan pengurusan subsidi dilakukan dengan berkesan kerana implikasi kewangannya sangat besar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan memperkukuhkan mekanisme pengurusan risiko ketirisan melalui pelaksanaan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) yang memanfaatkan teknologi digital bagi memantau penyaluran diesel bersubsidi.
Katanya, pendekatan berteraskan teknologi lebih berkesan dalam menutup ruang penyalahgunaan, penyelewengan dan penyeludupan berbanding hanya bergantung kepada penguatkuasaan semata-mata.
“Salah satu mekanisme pengurusan risiko yang kita laksanakan ialah melalui sistem SKDS selain meningkatkan ketangkasan penguatkuasaan.
“Kita boleh tingkatkan penguatkuasaan, tetapi jika masih ada ruang untuk pihak tertentu mengambil kesempatan melakukan penyalahgunaan dan penyeludupan, masalah itu akan terus berlaku. Sebab itu kerajaan melihat antara kaedah terbaik adalah melalui pemantauan dan penguatkuasaan berteraskan teknologi digital,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Armizan berkata, kerajaan memberi jaminan bahawa bekalan bahan api termasuk petrol dan diesel di stesen minyak seluruh negara akan terus terjamin meskipun berdepan tekanan akibat peningkatan kos subsidi susulan krisis tenaga global.
Beliau berkata, kerajaan bersama pemain industri telah mengambil langkah proaktif bagi memastikan tidak ada gangguan besar terhadap bekalan bahan api kepada rakyat.
Katanya, Pasukan Petugas Khas M10 yang ditubuhkan kerajaan serta kerjasama rapat dengan Petronas dan syarikat minyak berjaya memastikan bekalan bagi Jun dan Julai berada pada tahap selamat.
“Setakat ini melalui Pasukan Petugas Khas yang telah ditubuhkan dan juga atas kerjasama Petronas yang menggunakan rangkaian luas yang ada, kerajaan berusaha memastikan wujudnya keterjaminan bekalan.
“Setakat ini seperti yang disebutkan Timbalan Perdana Menteri bahawa bekalan bahan api untuk Jun selesai, Julai selesai, bekalan itu mencukupi dan kita akan terus memastikan bekalan tersebut terjamin,” katanya.
Armizan berkata, tindakan pantas kerajaan membolehkan bekalan petrol dan diesel terus tersedia di stesen minyak di seluruh negara tanpa gangguan besar.
“Kerajaan, industri, syarikat-syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak bekerjasama rapat bagi memastikan bekalan itu ada dan diurus dengan baik supaya tidak berlaku ketirisan.
“Insya-Allah kerajaan akan memastikan jaminan bekalan itu dapat diteruskan setiap bulan dan bekalan jangka panjang dapat dijamin,” katanya.






