PENDAKWAAN terhadap lima lelaki warga Jepun yang dipercayai terbabit dalam sindiket penipuan antarabangsa di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini terpaksa ditangguhkan selepas berdepan masalah bahasa.
Keadaan itu berlaku apabila semua tertuduh didapati tidak memahami bahasa Melayu mahupun bahasa Inggeris menyebabkan pertuduhan tidak dapat dibacakan di mahkamah.
Lima tertuduh ialah Nakahara Riku, Matsumoto Ryuto, Dono Harisu, Inaba Sho dan Umeda Tokeya yang masing-masing berusia antara lingkungan 20-an hingga 40-an.
Majistret Roshayati Radellah kemudian menetapkan 22 Jun ini untuk sebutan semula kes bagi membolehkan jurubahasa yang fasih dalam bahasa Jepun hadir ke mahkamah.
Mahkamah turut tidak membenarkan semua tertuduh diikat jamin.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, media melaporkan Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan tiga sindiket penipuan antarabangsa menerusi tiga serbuan berasingan di premis yang dijadikan pusat panggilan di sekitar Bukit Mertajam awal bulan ini.
Siasatan mendapati sindiket terbabit menjalankan kegiatan penipuan melibatkan modus operandi ‘Love Scam’, pertukaran mata wang kripto dan ‘Phone Scam’.
Sindiket itu juga dipercayai menyasarkan mangsa dari Jepun dan Taiwan dengan menyamar sebagai pegawai polis bagi memperdayakan mangsa.






