POLIS Selangor menahan seramai 300 individu etnik Rohingya yang dipercayai terbabit dalam pelbagai kegiatan jenayah sepanjang tahun lalu hingga Mei tahun ini dalam operasi penguatkuasaan berterusan di seluruh daerah ini.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, jumlah itu direkodkan menerusi 192 kes jenayah yang disiasat membabitkan golongan berkenaan.
Menurut beliau, daripada jumlah itu sebanyak 140 kes direkodkan sepanjang tahun 2025 dengan tangkapan melibatkan 227 individu manakala bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 52 kes direkodkan dengan 73 tangkapan dibuat.
Katanya, siasatan mendapati penglibatan mereka melibatkan pelbagai kategori jenayah termasuk kes kekerasan dan jenayah harta benda.
“Setakat ini kita tidak mengesan mereka terlibat dengan kegiatan kongsi gelap tetapi mereka bergerak dalam komuniti mereka sendiri.
“PDRM sentiasa mengambil tindakan secara berterusan dan konsisten dan tidak hanya bergantung kepada sentimen semasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.
Mengulas sama ada kewujudan penempatan dan kadar jenayah membabitkan etnik berkenaan membimbangkan, Shazeli berkata, pihaknya mengakui terdapat kebimbangan terutama apabila ada individu dikesan berada di negara ini tanpa pendaftaran yang jelas.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan proses pengesanan menjadi lebih sukar sekiranya berlaku kejadian tidak diingini.
“Identiti dan kedudukan mereka tidak diketahui dan ini sesuatu yang membimbangkan kerana menyukarkan proses pencarian atau pengesanan sekiranya berlaku insiden.
“PDRM sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi strategik seperti Jabatan Imigresen dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam pertukaran maklumat serta pelaksanaan operasi bersepadu di seluruh Selangor,” katanya.
Beliau berkata, sebanyak enam operasi bersepadu dilaksanakan sepanjang tahun lalu bagi mengesan dan mengambil tindakan terhadap pendatang atau pelarian yang didapati melanggar undang-undang.
Dalam perkembangan sama, Shazeli berkata, pihaknya turut berbincang dengan PBT berhubung status penempatan etnik Rohingya yang dikenal pasti di negeri itu.
“Sekiranya sah maka tidak menjadi masalah, namun jika penempatan itu haram kita akan menyarankan tindakan sewajarnya diambil.
“Sama ada untuk menjadikannya satu penempatan yang sah, mengambil tindakan perobohan atau penempatan semula di kawasan yang lebih mudah dipantau,” katanya.






