PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pembinaan projek perumahan kekal bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara menjadi bukti hak golongan miskin bandar ditegakkan, walaupun mereka terpaksa menunggu lebih 40 tahun untuk memperoleh penempatan tetap.
Keadaan itu juga kata beliau menunjukkan kerajaan tidak pernah meminggirkan hak mana-mana penduduk miskin bandar yang mahu menikmati kehidupan lebih baik.
“Projek ini tak besar, tetapi kesan dia dari segi sejarah cukup besar. Bukan saja di Malaysia, bayangkan di mana-mana negara, kelompok miskin bandar di rumah panjang begini rupa, berhadapan tekanan perumahan… dengan mahligai keliling, dengan nak jaga hutan, tak pernah menang (kes di mahkamah) dalam sejarah dunia.
“Alhamdulillah, di sini saudara-saudara menang kerana pertahankan hak dan mengikut undang-undang,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Perumahan Kekal bagi penduduk Rumah Panjang Bukit Kiara, Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi menampung kos penyelenggaraan kediaman berkenaan selama tiga tahun selepas projek itu siap.
Beliau berkata, usaha menyelesaikan isu penempatan itu bukan mudah kerana melibatkan proses perundangan yang panjang.
“Sebelum ini saya tak berani kerana tunggu proses undang-undang. Maka kita hormat proses undang-undang. Sebaik keputusan dibuat, saya kata kena cari jalan selesai.
“Maka, keputusan dibuat, teliti masalah penduduk, semua itu dirungkai dan akhirnya peranan kita cari bagaimana boleh diselesaikan. Bukan sikit tahun. Bayangkan kalau kita hidup, rumah panjang sudah (berusia) 44 tahun,” katanya.
Beliau juga menghargai kesabaran penduduk yang menunggu sekian lama untuk mendapatkan kediaman lebih baik.
“Jadi janganlah orang kata ini sebagai contoh untuk bangunkan rumah-rumah setinggan dan terus minta hak, tak. Dia ikut proses undang-undang dan hakim yang bijaksana meneliti semua aspek dan dengar semua pandangan.
“Ini sebab saya kata, ini dari segi sejarah sangat penting. Kita lihat, orang miskin ini tak kira Melayu, Cina, India hak dia kita pelihara. Ini Kerajaan MADANI, kita adil untuk semua. Kemudian, proses dia tak akan berlaku dengan baik kalau tak ada kerjasama dengan penjawat awam. Bila dasar itu jelas, penjawat awam boleh jalankan dengan cekap,” katanya.






