LAPAN buah kenderaan polis mengejar dan mengepung sebuah kereta dinaiki tiga lelaki dipercayai penjenayah curi kabel selepas suspek melarikan diri daripada pemeriksaan polis di Jalan Tun Dr Ismail di Seremban hari ini.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu, suspek dipercayai terbabit kes curi kabel berdasarkan penemuan pelbagai peralatan untuk kegiatan itu selain polis turut menemukan dua peket dadah.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd Yatim Osman berkata, pihak polis menerima satu laporan berkaitan kejadian itu pada jam 10.45 pagi.
“Siasatan awal mendapati kereta peronda polis (MPV) IPD Seremban mengejar sebuah kereta Proton Waja yang melarikan diri daripada pemeriksaan pihak polis di sekitar kawasan Jalan Tun Dr Ismail di bandar Seremban.
“Dalam kejadian ini, kenderaan yang dinaiki suspek berjaya dihalang dan dua lelaki berjaya ditahan manakala seorang rakannya berjaya melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Yatim memberitahu, pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menjumpai sebanyak 14 alatan untuk mencuri kabel serta senjata berjadual.
“Polis turut menjumpai dua peket plastik lut sinar disyaki dadah. Hasil soal siasat dijalankan ke atas tangkapan mengakui mereka bersama rakannya yang masih bebas melakukan kegiatan curi kabel di sekitar kawasan Seremban,” katanya.
Katanya, semakan rekod jenayah ke atas kedua-dua tangkapan mendapati masing-masing mempunyai tujuh dan 10 rekod atas pelbagai kesalahan jenayah dan dadah.
“Semakan ke atas kereta Proton Waja mendapati ia didaftarkan atas nama seorang wanita dan ia digunakan suspek yang melarikan diri,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan Letupan Senjata Berjadual.
“Suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban esok untuk permohonan reman bagi siasatan lanjut.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat boleh disalurkan terus kepada pegawai penyiasat, Sarjan Amram Ismail di talian 019-966 1346 atau bilik gerakan IPD Seremban di talian 06-603 3222,” katanya.






