Anthony Loke, Onn Hafiz akhirnya bersemuka dalam program MoT di Johor

SELEPAS beberapa hari berbalas kenyataan dalam media sosial, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi akhirnya bersemuka di Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai, di Kulai hari ini.

Anthony tiba pada majlis yang dianjurkan Kementerian Pengangkutan (MoT) menerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang menjadi tuan rumah program itu pada jam 12.45 tengah hari disusuli Onn Hafiz lima minit kemudian.

DATUK Onn Hafiz Ghazi bersama Anthony Loke pada Majlis Peluncuran Operasi Perkhidmatan Shuttle Selatan di Stesen Keretapi Kulai hari ini

Turut kelihatan, Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan beberapa pemimpin DAP.

Kedua-dua pemimpin politik itu dilihat saling bersalaman dan berbual mesra sebelum masing-masing berucap pada majlis berkenaan.

Memulakan ucapan, Onn Hafiz mengucapkan ‘selamat datang’ kepada Anthony dan pasukannya ke negeri Johor.

Onn Hafiz berkata, beliau meminda dan menyusun semula jadual sebaik menerima notis pendek berhubung jemputan menghadiri majlis hari ini.

“Apa pun keadaan, kita faham dan dalam suasana luar biasa, kita harus kekal profesional dan bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas sebagai kerajaan demi kesejahteraan rakyat khususnya di Johor,” katanya.

Perang media sosial di antara kedua-dua pemimpin itu bermula apabila Onn Hafiz dalam ucapannya menyatakan bahawa BN Johor tidak akan bekerjasama dengan DAP sekiranya parti gabungan itu membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Kenyataan itu dibuat Onn Hafiz ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera BN Johor di Iskandar Puteri pada 7 Jun lalu.

Malah, Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Negeri Johor menegaskan ketika itu dia lebih rela melepaskan jawatan Menteri Besar daripada bekerjasama dengan DAP dalam kerajaan negeri.

Pada hari yang sama, Anthony yang juga Setiausaha Agung DAP menyindir Onn Hafiz dengan menyatakan bahawa pendirian Menteri Besar Johor itu bercanggah dengan realiti kerjasama BN dan DAP pada peringkat Persekutuan apabila Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hampir tiap-tiap minggu duduk di sebelahnya dalam mesyuarat.

Susulan itu, pada Sabtu lalu, Anthony menjemput Onn Hafiz untuk menaiki KTM Komuter baharu bersama-sama dengannya pada majlis peluncurannya, hari ini.

Onn Hafiz kemudian membuat kenyataan ‘terharu’ apabila akhirnya ‘dijemput’ Anthony, namun mendakwa belum menerima sebarang surat rasmi walaupun lawatan kerja hari ini sudah dirancang sejak seminggu yang lalu.

Onn Hafiz berkata, jemputan diterima selepas beberapa lawatan Anthony membabitkan projek di negeri ini tidak pernah membabitkan dirinya atau Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab.

Anthony pula menjawab beliau tidak menjemput Menteri Besar jika ia membabitkan lawatan kerja kerana memahami kesibukan Menteri Besar itu. Beliau turut menyenaraikan beberapa program melibatkan MoT sebelum ini yang turut dihadiri oleh Onn Hafiz atau Exco kerajaan negeri.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img