JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menjalankan Operasi Pemandu Warga Asing (PeWA) bersepadu di sekitar Puchong hari ini, bagi mengesan penggunaan basikal kargo oleh warga asing yang didakwa mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Operasi itu susulan aduan penduduk yang mendakwa penggunaan basikal kargo oleh warga asing termasuk warga Rohingya, di jalan-jalan utama dan laluan sibuk tanpa menghiraukan keselamatan pengguna jalan raya lain, basikal tidak diselenggara dengan baik serta membawa kanak-kanak di ruang kargo tanpa ciri keselamatan.
Tinjauan mendapati sebahagian warga Rohingya di kawasan tersebut menggunakan basikal kargo yang diubah suai untuk mengutip besi buruk serta barangan kitar semula, sebelum dijual kepada pusat pengumpulan.
Seorang etnik Rohingya, Artirahman Abdul Rahman, 36, berkata, aktiviti itu adalah punca pendapatan utamanya, dengan perolehan harian dianggarkan antara RM30 hingga RM80, bergantung kepada jumlah bahan yang dikumpulkan.
“Basikal ini boleh dapat di bengkel (kimpalan tempatan) atau dibeli daripada pemilik lain. Saya beli basikal dan hantar ke bengkel untuk dipasang kargo.
“Sebuah basikal biasa berharga sekitar RM50, manakala kos pemasangan ruang kargo boleh mencecah RM400, namun terdapat juga basikal kargo terpakai dijual pada harga sekitar RM400 seunit,” katanya kepada pemberita hari ini, lapor Bernama.
Seorang penduduk, P Sundararaj, 63, mendakwa, isu berkenaan berlarutan sejak beberapa tahun lepas, walaupun aduan telah berulang kali dibuat kepada pihak berkuasa.
“Aktiviti warga asing terutama warga Rohingya di kawasan perindustrian sekitar Puchong sering mengganggu kelancaran trafik, khususnya di persimpangan dan kawasan lampu isyarat.
“Saya sudah buat aduan banyak kali. Pernah ada tindakan diambil sebelum ini, namun selepas itu kumpulan lain pula datang,” katanya.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Akmal, 27, pula mendakwa pertambahan komuniti Rohingya di kawasan berkenaan terutama di Kampung Sri Langkas Tambahan, menimbulkan kegusaran kepada penduduk setempat.
Dia berkata baru-baru ini, beberapa agensi termasuk Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan MBSJ menjalankan operasi di kawasan itu.
“Mereka ini (Rohingya) macam sudah tahu lebih awal mengenai serbuan itu. Saya tidak tahu bagaimana, tetapi kebanyakan kedai yang selalunya berniaga memang tutup dan kawasan itu lengang ketika operasi dijalankan,” katanya yang turut berharap pihak berkuasa dapat menjalankan pemeriksaan lebih kerap.






