GAMBAR dan mesej dikirim kepada keluarga sehari sebelum kejadian kini menjadi kenangan terakhir ditinggalkan Prebet Siti Khadijah Sungip, 24, yang maut dalam insiden letupan semasa latihan membaling grenad di Kem Hobart, Gurun, semalam.
Kakaknya, Siti Zaiha, 39, berkata, gambar itu dihantar Allahyarham menerusi kumpulan WhatsApp keluarga kira-kira jam 12 tengah malam bagi memaklumkan dia sedang menjalani latihan selama lapan hari yang merangkumi latihan menembak dan membaling bom tangan.
Menurutnya, pada pagi kejadian sekitar jam 8 pagi, arwah sekali lagi menghantar mesej memaklumkan dia akan menjalani latihan membaling grenad dan menyatakan kumpulannya adalah kumpulan terakhir menjalani latihan berkenaan.
“Saya sempat pesan supaya dia berhati-hati, dengar arahan jurulatih dan beri tumpuan sepanjang latihan.
“Tetapi sekitar jam 11 pagi, ayah hubungi saya dan beritahu adik terbabit kemalangan. Pada masa itu saya sangka kemalangan biasa kerana tidak diberitahu perkara sebenar,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga di Taman Sri Lambak, Kluang, hari ini.
Katanya, disebabkan tidak mendapat maklumat jelas, dia cuba mendapatkan nombor pegawai bertugas menerusi kenalan sebelum dimaklumkan sekitar jam 12 tengah hari bahawa adiknya mengalami kecederaan dan disahkan meninggal dunia.
“Bila dapat tahu berita sebenar, ibu (Zaliha Said) beberapa kali pengsan manakala ayah sangat terkesan dan tidak mampu bercakap banyak,” katanya.
Siti Khadijah merupakan bekas graduan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dalam jurusan Diploma Teknologi Kejuruteraan Awam (Jalan Raya dan Pengangkutan).
Allahyarham yang berkhidmat di Skuadron Pertama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) juga pernah menerima Anugerah Akademik Prajurit Wanita Muda Terbaik.
Siti Zaiha berkata, kali terakhir mereka sekeluarga bertemu Allahyarham adalah seminggu sebelum Aidiladha lalu apabila arwah pulang ke kampung selepas menamatkan Latihan Pasak Bumi.
“Cita-cita sebenar arwah bukan untuk menyertai Tentera Darat. Dia pernah menghadiri temu duga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), tetapi belum ada rezeki.
“Namun ayah memang mahu dia menjadi anggota tentera kerana ayah sendiri bekas tentera,” katanya.
Terdahulu, pekarangan rumah keluarga dipenuhi saudara-mara, jiran dan kenalan yang hadir menunggu ketibaan jenazah selain mengadakan bacaan Yasin dan persiapan pengebumian.
Semalam, Tentera Darat Malaysia (TDM) mengesahkan dua anggota maut dalam insiden letupan semasa pelaksanaan Latihan Membaling Grenad dalam Latihan Peningkatan Tempur Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Divisyen Kedua Infantri Malaysia di Kem Hobart, Gurun.
Selain Siti Khadijah, seorang lagi mangsa ialah Koperal Norazmi Abu Bakar daripada Batalion Keenam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) yang turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.






