JIM tahan 62 warga asing, salah guna pas di Selangor

JABATAN Imigresen Malaysia (JIM) menahan 62 warga asing dalam operasi khas penguatkuasaan bagi membanteras salah guna pas dan pelanggaran syarat pas di beberapa lokasi sekitar Selangor, Isnin lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi dilaksanakan Bahagian Penguatkuasaan membabitkan kawasan Cyberjaya, Bandar Seri Putra, Bandar Teknologi Kajang, Seri Kembangan, Sepang dan Dengkil.

Operasi berkenaan dijalankan hasil risikan serta maklumat diterima daripada orang awam dengan penyertaan 30 pegawai penguat kuasa.

“Sebanyak 17 premis diperiksa termasuk kilang pembuatan perabot, kilang papan, kedai makan, kedai runcit serta kawasan penjaja yang dikenal pasti menjadi lokasi tumpuan warga asing.

“Hasil pemeriksaan ke atas 210 individu terdiri daripada warga tempatan dan warga asing mendapati seramai 62 warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya siasatan awal mendapati sebahagian daripada warga asing yang ditahan dipercayai menyalahgunakan kemudahan pas yang diberikan dengan menjalankan pekerjaan atau aktiviti yang tidak selaras dengan tujuan asal kemasukan ke negara ini.

Zakaria berkata, perbuatan itu merupakan pelanggaran serius terhadap syarat pas dan boleh dikenakan tindakan mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa.

Dalam operasi sama, sebanyak 11 borang saman kepada saksi turut dikeluarkan kepada majikan bagi membantu siasatan lanjut berkaitan penggajian warga asing serta tahap pematuhan terhadap peraturan imigresen.

Kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Depot Imigresen Putrajaya untuk tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut.

JIM menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus diperkukuh di seluruh negara bagi membanteras salah guna pas, penyalahgunaan kemudahan imigresen serta pelanggaran undang-undang berkaitan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img