Tokoh Maal Hijrah Selangor individu perkenal tudung anggota wanita PDRM

BEKAS Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, individu yang bertanggungjawab memperkenalkan pemakaian tudung rasmi bagi anggota wanita Polis Diraja Malaysia (PDRM) diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah 1448H/2026M Selangor.

Beliau yang memegang jawatan tersebut pada tahun 2008 hingga 2016 dianugerahkan Tokoh Maah Hijrah Selangor selepas diperkenankan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Anak kelahiran Sabak Bernam itu memperkenalkan pemakaian tudung rasmi bagi anggota wanita PDRM sewaktu ketika berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) ketika pentadbiran Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Selain itu, beliau turut mengendalikan 26 Pilihan Raya Kecil (PRK) dan dua Pilihan Raya Umum (PRU) termasuk ketika wabak Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) dan banjir semasa memegang jawatan sebagai Pengerusi SPR.

Penganugerahan kepada Abdul Aziz dilaksanakan pada Majlis Ambang Hijrah dan Sambutan Ma’al Hijrah 1448 Peringkat Negeri Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, di sini malam tadi.

Abdul Aziz, 76, ketika ditemui pemberita menzahirkan kesyukuran di atas penghargaan yang diberikan kepadanya yang berkhidmat lebih empat dekad di peringkat Persekutuan dan negeri terutamanya di Kementerian Kewangan, Kementerian Dalam Negeri, Kerajaan Negeri Selangor, Kerajaan Negeri Melaka serta Institut Tadbiran Awam Negara (Intan).

“Sebagai anak jati Selangor, …memang kasih, sayang dan hormat pada negeri saya itu amat tinggi. Selama di Selangor ini, saya berkhidmat lima tahun sebagai Pegawai Kewangan, tiga tahun sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Menjunjung kasih Tuanku Sultan Selangor, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang mengatur, merancang untuk mengadakan program sambutan Maal Hijrah ini,” katanya yang melepaskan jawatan sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) atas faktor kesihatan pada Februari tahun lalu.

Abdul Aziz turut mengimbas kembali sumbangannya kepada dunia Islam di negara ini ketika diminta mengulas mengenai pemakaian tudung kepada anggota polis beragama Islam.

“Sekitar tahun 70-an, 80-an, 90-an, …pemakaian tudung ini tidak begitu meluas tetapi masuk tahun 2000, ramai wanita Islam yang memakai tudung.

“Sebagai anggota kerajaan, polis dilihat di merata tempat, ramai polis wanita pada masa itu tidak memakai tudung. Pada masa itu saya sebagai KSU KDN, kita berbincang dengan Menteri dan Timbalan Menteri KDN berhubung cadangan ini.

“Dengan persetujuan PDRM, akhirnya bermula anggota polis wanita memakai tudung dan seingat saya pada ketika itu masing-masing mendapat enam helai dan pemakaian itu kekal sampai sekarang, Alhamdulillah,” katanya.

Ketika di KDN juga katanya, beliau berdepan pelbagai cabaran termasuk isu Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) yang hangat diperkatakan termasuk desakan pemansuhannya ketika itu.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img