Enam warga asing didenda RM9,000 terbabit ‘Love Scam’

ENAM lelaki warga China dan seorang Taiwan didenda RM9,000 setiap seorang oleh Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan menjalankan kegiatan penipuan dalam talian atau ‘Love Scam’ yang menyasarkan mangsa senegara.

Tertuduh ialah Wu Chunsheng, 24, Wang Junye, 35, Kuai Ming, 28, Gao Yang, 35, Shu Wentao, 40 dan Chen Nan, 28, (warga Taiwan).

Kesemua tetrtuduh membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan secara bersama dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Roshayati Radellah.

Mengikut pertuduhan, kesemua mereka didakwa bersubahat melakukan perbuatan menyalahi undang-undang iaitu menjalankan penipuan dalam talian di sebuah premis di Taman Pinggiran, Bukit Minyak dalam daerah Seberang Perai Tengah kira-kira jam 10.30 malam pada 1 Jun lalu.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 120B(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfadzli Hassan. Lima tertuduh warga China diwakili peguam K Kumaran manakala tertuduh warga Taiwan diwakili Chiang Kian Hong.

Semasa prosiding, pihak pembelaan memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan kebanyakan anak guam mereka bekerja sendiri, selain ada yang bekerja sebagai tukang masak, pengawal keselamatan dan pelayan bar.

Peguam turut memaklumkan kesalahan itu merupakan kesalahan pertama bagi semua tertuduh selain pengakuan bersalah yang dibuat di peringkat awal telah menjimatkan masa mahkamah. Mereka juga memohon mahkamah mengambil kira hasrat anak guam untuk pulang ke negara asal selepas selesai urusan perundangan.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM9,000 terhadap setiap tertuduh. Sekiranya gagal membayar denda, mereka boleh dipenjara selama 12 bulan.

Sebelum ini, media melaporkan Polis Pulau Pinang berjaya menumpaskan tiga sindiket penipuan antarabangsa termasuk kegiatan ‘Love Scam’ menerusi tiga serbuan berasingan di premis yang dijadikan pusat panggilan di sekitar Bukit Mertajam pada awal bulan ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail dilaporkan berkata, seramai 10 warga asing membabitkan warga China dan Taiwan ditahan dipercayai terbabit dalam sindiket yang beroperasi di Taman Pinggiran, Bukit Minyak.

Siasatan mendapati sindiket itu dipercayai aktif sejak Januari lalu dan menyasarkan mangsa dari Malaysia, China serta Taiwan. Dalam serbuan sama, polis turut merampas skrip penipuan, 16 unit komputer, 23 telefon bimbit serta empat unit penghala WiFi dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM78,000.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img