JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengesan kegiatan segelintir warga tempatan yang menyewakan kenderaan kepada warga asing secara haram untuk kegunaan harian termasuk kepada individu yang berada di negara ini tanpa dokumen sah.
Kegiatan itu dikesan menerusi pelbagai siri Operasi Pemandu Warga Asing (PEWA) yang dilaksanakan sejak awal tahun ini termasuk operasi terbaharu selama tiga hari bermula Selasa lalu di sekitar Balakong, Puchong, Petaling Jaya dan Persiaran Hamzah Alang.

Timbalan Pengarah JPJ Selangor, Datuk Ahmad Kamarunzaman Mehat berkata, hasil siasatan mendapati kenderaan terbabit disewakan kepada warga asing menggunakan pelbagai kaedah termasuk secara bulanan, mingguan dan harian mengikut kadar tertentu.
Menurutnya, kebanyakan pemilik kenderaan yang tampil membuat tuntutan selepas kenderaan disita adalah warga tempatan sendiri.
“Bila kita sita kenderaan itu, yang datang membuat tuntutan adalah pemiliknya iaitu orang tempatan.
“Operasi ini tiada amaran atau kompaun, sebaliknya kita akan bawa terus ke mahkamah. Pemilik dan pemandu perlu membayar denda di mahkamah sebelum kenderaan boleh dikeluarkan dari kawasan sitaan JPJ dan diambil semula oleh pemilik,” katanya pada sidang media operasi PEWA di JPJ Selangor hari ini.
Beliau berkata, sepanjang operasi PEWA sejak Januari lalu, sebanyak 304 kenderaan dikenakan tindakan membabitkan 90 kenderaan persendirian, 125 motosikal, 74 kenderaan barangan dan 15 kenderaan perkhidmatan awam.
Daripada jumlah itu, sebanyak 95 kenderaan disita membabitkan 61 motosikal, 23 kenderaan barangan, sembilan kenderaan persendirian dan dua kenderaan perkhidmatan awam.
Menurutnya, statistik kesalahan pula merekodkan 268 kes memandu tanpa lesen, 77 kes tanpa Lesen Kenderaan Barangan (GDL), empat kes tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), 207 kes tanpa Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan 178 kes membabitkan kenderaan tanpa perlindungan insurans.
Beliau berkata, tindakan turut diambil terhadap warga asing membabitkan 50 warga Myanmar, 46 Bangladesh, 44 Indonesia, 10 India dan 89 lain-lain warga negara.
“Apabila kita sita atau ambil tindakan terhadap kenderaan, Jabatan Imigresen akan menahan warga asing terbabit untuk tindakan lanjut,” katanya.
Operasi bersepadu itu dilaksanakan bersama Jabatan Imigresen Selangor, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Ahmad Kamarunzaman berkata, pemeriksaan turut mendapati kebanyakan kenderaan yang digunakan berada dalam keadaan tidak diselenggara dengan baik termasuk menggunakan tayar botak dan sistem brek yang tidak berfungsi sehingga mengundang risiko tinggi kepada pengguna jalan raya lain.
Sehubungan itu, beliau memberi amaran tegas kepada pemilik kenderaan, majikan dan syarikat pengangkutan supaya tidak melepaskan tanggungjawab terhadap penggunaan kenderaan berdaftar atas nama mereka.
Katanya, mengikut Seksyen 109 Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemilik berdaftar bertanggungjawab terhadap sebarang kesalahan dilakukan individu yang menggunakan kenderaan berkenaan termasuk warga asing.
Tambah beliau, JPJ juga mempunyai kuasa menyita kenderaan di bawah Seksyen 64 akta sama sekiranya pemandu warga asing tidak memiliki lesen memandu yang sah.
Bagi syarikat pengangkutan yang menggajikan pemandu secara tidak sah, tindakan termasuk penggantungan atau pembatalan permit boleh diambil mengikut Seksyen 22 dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 selain tindakan di bawah Seksyen 57 membabitkan kenderaan barangan.






