DUA penghuni melecur manakala seorang lagi mengalami sesak nafas selepas sebuah rumah teres dua tingkat yang disewakan mengikut bilik di Jalan Permai 4 Taman Perkota Hang Tuah Bukit Baru di Melaka terbakar awal pagi ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, panggilan kecemasan mengenai kejadian itu diterima pada jam 3.38 pagi sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh dengan bantuan BBP Bukit Katil bergegas ke lokasi.
Menurutnya, setibanya pasukan bomba pada jam 3.48 pagi, didapati sebuah rumah jenis kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 20 x 70 kaki persegi (130.06 meter persegi) sedang terbakar.
“Kebakaran melibatkan kira-kira 80 peratus daripada keseluruhan struktur rumah tersebut yang disewakan mengikut bilik kepada beberapa penyewa.
“Seramai enam penghuni warga tempatan berjaya diselamatkan dalam kejadian itu,” katanya dalamkenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua mangsa mengalami kecederaan melecur iaitu seorang wanita berusia 22 tahun dan seorang lelaki warga emas berusia 63 tahun, manakala seorang lelaki berusia 26 tahun mengalami sesak nafas akibat terhidu asap.
Katanya, tiga lagi penghuni masing-masing seorang wanita berusia 44 tahun, seorang lelaki berusia 44 tahun dan seorang lelaki lingkungan 40-an berjaya menyelamatkan diri tanpa mengalami sebarang kecederaan.
“Ketiga-tiga mangsa yang cedera diberikan rawatan awal oleh Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) sebelum dihantar ke hospital menggunakan kenderaan EMRS BBP Ayer Keroh untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Mohd Hafidzatullah berkata, operasi pemadaman melibatkan 15 anggota bomba dan penyelamat dengan bantuan dua jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta dua kenderaan EMRS.
“Api berjaya dikawal pada jam 3.57 pagi menggunakan salur bantu mula dan operasi masih diteruskan bagi memastikan tiada lagi punca kebakaran yang boleh mencetuskan api semula.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.






