SEORANG lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kes kecurian dompet di sebuah pasar raya di Semenyih ditahan polis selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada Rau lalu kira-kira jam 9.37 malam membabitkan kehilangan sebuah dompet yang dipercayai dicuri di kawasan CLC Hypermarket, Semenyih sekitar jam 3 petang.
Menurutnya, susulan laporan diterima, polis turut mengesan satu rakaman video berdurasi tujuh minit 11 saat yang tular di aplikasi TikTok dan dipercayai dirakam selepas kejadian berkenaan.
“Bertindak atas maklumat dan siasatan yang dijalankan, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan berusia 37 tahun, semalam kira-kira jam 1 pagi.
“Suspek yang bekerja sebagai penghantar barang kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Mengulas dakwaan dompet berkenaan mengandungi wang tunai RM10,000 seperti yang tular, Naazron berkata pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengesahkan jumlah wang yang didakwa hilang serta sama ada suspek turut disyaki mengambil wang berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi talian kecemasan NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-89114243 bagi membantu siasatan lanjut.






