EMPAT termasuk dua beradik maut dalam dua kemalangan berasingan membabitkan lima kenderaan di Maran dan Pekan, hari ini.
Semua mangsa terkorban masing-masing membabitkan dua lelaki dan dua wanita itu berlaku dalam tempoh kurang sejam.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Salahuddin Isa berkata, kemalangan maut membabitkan dua beradik berlaku di Jalan Besar Jengka 19, setelah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki mereka bertembung dengan sebuah kereta.
Menurutnya, tujuh anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jengka bergegas ke lokasi kejadian sebaik mendapat laporan jam 6.47 petang.
“Sebaik tiba di lokasi didapati pemandu dan penumpang MPV tersepit dalam kenderaan dan bomba mengguna peralatan menyelamat membawa keluar mangsa.
“Bagaimanapun kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Mohd Salahuddin berkata, jumlah dan keadaan penumpang sebuah lagi kenderaan terbabit kemalangan itu tidak dapat dipastikan kerana mangsa sudah dihantar ke pusat kesihatan berdekatan oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal ketika kejadian MPV dinaiki dua beradik terbabit dalam perjalanan dari arah Jengka 19 ke Pusat Bandar Jengka.
Sementara itu, di Jalan Kuantan – Segamat dekat Chini, Mohd Salahuddin berkata, dua terbunuh akibat kemalangan membabitkan MPV, pikap dan sebuah kereta.
Beliau berkata, tujuh anggota BBP Chini bergegas ke lokasi sebaik mendapat laporan mengenai kejadian jam 5.55 petang.
Menurutnya, sebaik tiba di lokasi didapati pemandu dan penumpang masih berada dalam kenderaan dinaiki mereka.
“Bomba membawa keluar semua mangsa dan didapati pemandu kereta dan MPV meninggal dunia di tempat kejadian.
“Kemalangan turut menyebabkan empat penumpang kereta dan dua penumpang MPV dan pemandu pikap tercedera,” katanya.
Mohd Salahuddin berkata, semua mangsa cedera dikejarkan ke Hospital Pekan untuk rawatan lanjut.
Menurutnya, berdasarkan maklumat awal kereta dan MPV terbabit dalam perjalanan dari arah Segamat ke Kuantan bertembung dengan pikap dalam perjalanan dari arah bertentangan.
Mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Pekan untuk proses bedah siasat. Bagaimanapun, identiti semua mangsa belum diperoleh.






