Bomba selamatkan 20 penduduk terkandas insiden jambatan runtuh di Gopeng

SEBANYAK 20 individu termasuk bayi, warga emas dan seorang wanita hamil diselamatkan selepas terkandas apabila sebuah jambatan runtuh akibat banjir kilat di Kampung Ulu Geruntum, Kuala Razila di Gopeng hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, operasi menyelamat yang diketuai oleh Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng dilancarkan selepas pihak berkuasa menerima panggilan kecemasan jam 11.57 pagi ini.

Menurut beliau, anggota bomba tiba di lokasi jam 12.25 tengah hari dan mendapati penduduk kampung terkandas di seberang Sungai Geruntum selepas jambatan yang menjadi laluan utama dihanyutkan arus deras susulan fenomena kepala air yang berlaku semalam.

“Mangsa terdiri daripada dua kanak-kanak lelaki, dua warga emas, empat lelaki dewasa, sembilan wanita dewasa termasuk seorang wanita hamil, serta tiga bayi.

“Setibanya di lokasi, kami membuat penilaian keadaan dan mendapati jambatan yang digunakan oleh komuniti Orang Asli runtuh akibat arus air yang kuat.

“Kami memulakan operasi menyelamat menggunakan tali, selain mendapat bantuan bot arung jeram yang disediakan oleh sebuah resort berhampiran bagi memindahkan mangsa ke tempat selamat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Sabarodzi, pasukan penyelamat membantu mangsa memakai jaket keselamatan (PFD) sebelum membawa mereka menyeberangi sungai dengan selamat.

“Ketika itu, paras air sungai kira-kira satu meter dalam, selebar 50 meter dan mempunyai arus yang agak deras, jadi operasi ini agak mencabar.

“Bagaimanapun, hasil kerjasama erat antara semua agensi terbabit, kami berjaya membawa keluar kesemua mangsa dengan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Kesemua mangsa kemudiannya dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Bandaraya Gopeng.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img