MAJLIS Belia Malaysia (MBM) menyambut baik pengumuman Kerajaan MADANI untuk menyeragamkan harga diesel bersubsidi kepada RM2.10 seliter di seluruh negara bermula Julai ini.
Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan MADANI yang sentiasa terbuka mendengar pandangan rakyat serta golongan belia dalam merangka dasar negara.

Menurutnya, langkah ini selari dengan cadangan yang pernah dikemukakan oleh MBM sebelum ini agar kerajaan memperluaskan subsidi diesel dan memudahkan syarat kelayakan.
Beliau berkata, selain itu, MBM turut memuji langkah kerajaan termasuk mempertimbangkan kuota yang lebih munasabah kepada pemilik kenderaan persendirian.
“MBM berpandangan penyeragaman harga diesel bersubsidi ini merupakan langkah penting bagi memastikan manfaat subsidi sampai kepada rakyat yang memerlukan, di samping mengurangkan ketirisan, penyeludupan dan penyalahgunaan subsidi yang telah lama membebankan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan semalam mengumumkan akan menurunkan harga diesel bersubsidi untuk rakyat Malaysia kepada RM2.10 seliter mulai Julai ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan menjelaskan, penurunan harga itu akan dilaksanakan menerusi pembaharuan penyasaran subsidi diesel yang seragam di seluruh negara menggunakan mekanisme berasaskan MyKad, selaras ’dengan pendekatan yang telah dilaksanakan melalui BUDI MADANI RON95 (BUDI95).
Menurut MoF, melalui pembaharuan ini, rakyat Malaysia akan menikmati harga yang sama dan cara yang sama di seluruh negara. Subsidi diesel akan disalurkan terus kepada rakyat Malaysia melalui pengesahan MyKad, manakala bukan warganegara dan pihak yang tidak layak perlu membeli diesel pada harga tanpa subsidi,.
Sementara itu, Mohd Izzat Afifi berkata, MBM akan terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam membawa suara belia serta mengemukakan cadangan dasar yang konstruktif demi kesejahteraan rakyat dan kemajuan negara.






