
BEKAS Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menyerahkan kepada pimpinan parti untuk membuat keputusan berhubung kemungkinan beliau bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan yang dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding di Negeri Sembilan, Khairy yang juga bekas Ahli Parlimen Rembau berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan parti.
“Saya tidak tahu, tanya parti,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen ‘Safe Child, Strong Nation‘ anjuran Pertubuhan Perlindungan Kanak-Kanak Malaysia (CPSM) di Seri Negara, di ibu negara hari ini.
Bagaimanapun, ketika diajukan soalan mengenai pembabitannya dalam PRN Johor, beliau memberi bayangan jelas akan turun padang membantu kempen.
“Saya akan berada di sana,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan, Majlis Tertinggi (MT) UMNO merekodkan sebanyak 6,252 permohonan daripada bekas ahli yang ingin menyertai semula parti itu, selain permohonan daripada ahli baharu.
Antaranya termasuk bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar; bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Khairy yang juga bekas Ketua Pergeraka Pemuda UMNO.






