BEKAS Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengesahkan belum menerima sebarang jawatan rasmi daripada pucukp pimpinan parti sejak kepulangannya ke pangkuan UMNO baru-baru ini.
Bagaimanapun menurut bekas Menteri Kesihatan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ada memintanya untuk meneliti beberapa perkara khusus, namun menyifatkan masih terlalu awal untuk memperincikan tugasan itu.
“Tiada peranan rasmi, tetapi beliau ada meminta saya melihat satu atau dua perkara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Konvensyen 80 Tahun UMNO di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur hari ini.
Khairy berkata, beliau tetap dengan pendirian untuk tidak mengulas panjang sebelum memulakan tugasnya.
“Saya rasa agak awal untuk dikongsi kerana saya belum bermula lagi. Namun, yang pasti tiada jawatan rasmi dan saya sendiri meminta supaya tidak diberikan sebarang jawatan rasmi. Tetapi beliau (Presiden) ada meminta saya melihat sesuatu yang spesifik,” katanya.
Khairy juga mengakui tersentuh dengan intipati ucapan Ahmad Zahid pada konvensyen berkenaan.
“Ia mencerminkan keikhlasan Presiden dalam membuka semula pintu UMNO untuk saya. Amat jarang kita dapat melihat seorang pemimpin parti mengakui bahawa terdapat kekurangan di kedua-dua belah pihak.
“Saya amat berterima kasih atas kemurahan hati dan keikhlasan beliau,” katanya.
Ahmad Zahid dalam ucapannya secara terbuka mengakui beliau tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dalam kemelut parti itu sebelum ini yang membawa kepada pemecatan keahlian Khairy.
Bagaimanapun, Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu menegaskan, Khairy yang juga bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO turut melakukan kesalahan tertentu.
Khairy berkata, kenyataan Ahmad Zahid itu satu lembaran baharu dan menganggap pesanan berkenaan sebagai nasihat seorang ‘bapa’ yang sangat bermakna.
“Beliau menekankan bahawa kesetiaan itu penting. Kata beliau, tidak penting untuk setia kepada sesiapa pun dalam parti, tetapi cukuplah sekadar setia kepada parti.
“Saya rasa itu nasihat yang sangat tajam, cara seorang bapa mengingatkan saya mengenai fasa seterusnya dalam UMNO,” katanya.
Mengulas mengenai pandangan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, bahawa imej UMNO masih belum pulih sepenuhnya, Khairy bagaimanapun senada dengan pendapat berkenaan.
“Sedikit sebanyak ya. Saya rasa kita masih mempunyai tugas yang sukar untuk cuba memulihkan sokongan rakyat.
“Mengakui kesilapan hanya langkah pertama. Selepas itu, ia menyediakan pentas untuk kita memperkenalkan semula diri kepada pengundi atas pagar atau golongan pertengahan yang mungkin sudah hilang kepercayaan kepada kita.
“Kemudian, seperti yang dikatakan Presiden, tidak cukup untuk kita hanya mengenang masa lalu, tetapi perlu tampil dengan idea dan cadangan baharu mengenai apa yang boleh kita tawarkan kepada pengundi jika diberi peluang memerintah semula,” katanya.


