SEORANG wanita warga Indonesia yang sebelum ini tular dicederakan majikan, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas pertuduhan mendedahkan anak majikannya kepada kecederaan fizikal, tahun lalu.
Tertuduh, Yulia Arnida, 34, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Madihah Zainol.
Mengikut kertas pertuduhan, pembantu rumah itu yang mempunyai pemeliharaan dan jagaan sementara ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun ketika kejadian didakwa mendedahkan mangsa kepada kecederaan fizikal dengan cara menarik rambut mangsa sehingga kepala mangsa terangkat serta menarik tangan kanan mangsa dengan kasar sehingga menyebabkan kesan lebam.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan Ledang, Taman Johor di Johor Bahru pada sebelah petang, 21 Disember tahun lalu.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31(1) akta yang sama yang membawa hukuman sehingga RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Manushri Sutakhar mencadangkan jaminan berjumlah RM20,000 terhadap tertuduh berserta syarat tambahan perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu mangsa serta saksi kes berkenaan.
Peguam Jason Tan Ka Yan yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan yang lebih rendah memandangkan tertuduh mempunyai tanggungan dua orang anak berusia tujuh dan lapan tahun yang masih bersekolah di Bandar Aceh, Indonesia selain ibu bapa yang uzur.
Mahkamah bagaimanapun memutuskan untuk tidak membenarkan jaminan kepada tertuduh selepas peguam memaklumkan anak guamnya tidak dapat mematuhi salah satu syarat dikenakan kerana pasport milik tertuduh berada di tangan pihak ketiga.
Madihah kemudian memerintahkan wanita warga Indonesia itu ditahan di Pusat Tahanan Simpang Renggam, Kluang sehingga peguam mendapatkan dokumen perjalanan sementara buat tertuduh daripada Kerajaan Indonesia.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Jun ini bagi serahan dokumen.






