TINDAKAN seorang lelaki melarikan tiga botol minyak enjin motosikal tanpa membuat bayaran di sebuah stesen minyak di Kanchong, Kuala Langat, membawa kepada penahanan dua suspek semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Mohd Akmalrizal Radzi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 4.01 petang daripada seorang wanita berusia 31 tahun.
Menurut beliau, pengadu memaklumkan seorang lelaki telah mengambil tiga botol minyak enjin motosikal bersaiz satu liter sebelum keluar dari premis tanpa melakukan pembayaran.
“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati suspek yang memakai cermin mata hitam, baju lengan pendek dan seluar jean mengambil minyak dari rak jualan.
“Suspek kemudian melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta curi jenis Perodua Myvi,” katanya ketika dihubungi, lapor Buletin TV3.
Bertindak atas maklumat, polis berjaya menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an dan 50-an di medan selera Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) bagi membantu siasatan.
Mohd Akmalrizal berkata, seorang lagi suspek masih bebas dan usaha mengesannya sedang dijalankan.
Katanya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat di talian 03-3187 2222 bagi membantu siasatan.






