Bekas pegawai kerajaan Melaka didakwa salah guna wang, tipu lebih RM60,000

Bekas Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Bahagian Komunikasi Korporat (BKK), Jabatan Ketua Menteri Melaka (JKMM), didakwa di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini, atas tujuh pertuduhan membabitkan penyalahgunaan wang dan penipuan berjumlah lebih RM60,000.

Tertuduh, D. Puhnitha Devi, 43, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Bagi tiga pertuduhan, tertuduh didakwa menyalahgunakan wang milik Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) Negeri Melaka serta wang sumbangan petugas Majlis Sambutan Aidilfitri Madani Peringkat Melaka 2024.

Kesalahan itu didakwa melibatkan jumlah keseluruhan RM56,600 dan dilakukan pada 24 Mac serta 7 April 2022 di Bank Islam Cawangan Ayer Keroh.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut berdepan empat pertuduhan menipu tiga individu termasuk dua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) berkaitan kutipan sumbangan wang bagi penganjuran Hari Keluarga dan Sasaran Kerja Tahunan BKK JKMM yang didakwa tidak pernah diadakan.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Sharina Farhana Nor Sa’ari menawarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan melapor diri di pejabat SPRM sebulan sekali dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam Intan Nur Alia Nodzri yang mewakili tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan atas alasan anak guamnya tidak lagi bekerja sejak setahun lalu kerana menjaga ibu bapanya yang uzur selain bergantung kepada bantuan adik lelaki.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 3 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img