KERJA-kerja merobohkan struktur binaan haram ‘Flat Rohingya’ di Kampung Sungai Tekali, Hulu Langat dilaporkan sudah mencapai kira-kira 80 peratus setakat petang ini.
Tinjauan di lokasi setakat jam 5 petang tadi mendapati hanya sebahagian kecil struktur di tingkat bawah masih tinggal manakala keseluruhan bahagian lain bangunan empat tingkat itu telah dirobohkan.
Kerja-kerja perobohan dijalankan oleh ahli keluarga pemilik tanah susulan pelbagai isu yang dibangkitkan berhubung kewujudan bangunan tersebut sebelum ini.
Sebuah ekskavator digunakan bagi mempercepat proses perobohan, namun kerja pembersihan sisa binaan dan pelupusan mengikut saluran ditetapkan dijangka mengambil masa beberapa bulan untuk diselesaikan sepenuhnya.
Anak kepada pemilik tanah yang hanya mahu dikenali sebagai Kim berkata, pihak keluarga sedang berusaha menyelesaikan isu berbangkit itu secepat mungkin selain memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa.
“Saya mohon maaf kepada orang ramai terutama penduduk setempat atas sebarang kesulitan yang dilalui disebabkan kerja-kerja perobohan ini.
“Kami berharap dapat selesai segera dan sentiasa memberi kerjasama kepada semua pihak berkuasa yang terlibat,” katanya ketika ditemui di lokasi hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan sebuah bangunan empat tingkat yang dibina secara tidak sah dan pernah digunakan sebagai penempatan pelarian etnik Rohingya dekat Kampung Sungai Tekali mula dirobohkan oleh pemilik kawasan tapak berkenaan.
Terdahulu, isu tersebut tular selepas penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, secara kebetulan melalui kawasan berkenaan sebelum merakam video yang memaparkan keadaan bangunan mencurigakan itu.
Video berkenaan menunjukkan kewujudan kediaman bertingkat dengan laluan koridor berbumbungkan zink, dinding bata yang tidak disimen sepenuhnya serta sambungan paip air dan pendawaian elektrik yang dipercayai dipasang tanpa kelulusan pihak berkuasa.






