KEMENTERIAN Pertahanan (Mindef) melancarkan Pelan Strategik Pertahanan Negara (PSPN) dan Rangka Tindakan Kapasiti Pertahanan (RTKP) 2026-2030 sebagai dokumen utama yang akan menjadi panduan perancangan dan pembangunan pertahanan negara.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedua-dua dokumen itu adalah hasil penggemblengan idea, tenaga dan kepakaran pelbagai pihak di Mindef serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM), selain mendapat sumbangan rakan strategik.
Beliau berkata, pelancaran PSPN dan RTKP dibuat ketika dunia berdepan perubahan pantas dalam landskap pertahanan dan keselamatan susulan ketidaktentuan geopolitik, perkembangan teknologi disruptif seperti kecerdasan buatan (AI) dan sistem automasi, selain ancaman bukan bersenjata yang semakin kompleks.
“Pada masa sama, konflik bersenjata yang berlarutan di Asia Barat dan Ukraine masih memberi kesan langsung kepada kestabilan global.
“Perubahan ini sudah diteliti menerusi Kajian Separuh Penggal Kertas Putih Pertahanan bagi memperbaiki kelompongan serta membina perancangan pertahanan negara yang lebih responsif dan adaptif,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran PSPN dan RTKP 2026-2030 di ibu negara semalam.
Mohamed Khaled berkata, PSPN 2026-2030 adalah kesinambungan dan penambahbaikan kepada Pelan Strategik Mindef sebelum ini.
Menurutnya, PSPN digerakkan berasaskan tujuh teras strategik, termasuk memperkasakan kesiagaan ATM, mengukuhkan kapasiti pertahanan, memelihara kesejahteraan warga pertahanan dan veteran ATM, memperkasa kerjasama awam-tentera, serta memajukan sains, teknologi, inovasi, industri pertahanan dan hubungan pertahanan antarabangsa.
Beliau berkata, PSPN turut membawa tiga mesej utama iaitu kepentingan perancangan pragmatik, komitmen kerajaan memperkukuh keyakinan terhadap pengurusan pertahanan negara dan keperluan memastikan kapasiti serta sumber yang mencukupi untuk melaksanakan setiap perancangan.
“Tiada organisasi, apatah lagi negara, boleh berjaya tanpa pelan yang jelas. Kita mempunyai cita-cita untuk membangunkan Angkatan Masa Hadapan, memperkasa industri pertahanan tempatan dan membina daya tahan negara yang kuat.
“Tetapi semua itu hanya angan-angan tanpa perancangan yang tersusun, keutamaan yang jelas dan disiplin pelaksanaan yang tinggi.
“Pelan ini akan membantu kita mengurus serta mengagihkan sumber negara dengan cekap dan efektif bagi mencapai objektif yang disasarkan,” jelas beliau.
Mengulas mengenai RTKP, Mohamed Khaled berkata, dokumen itu berperanan memastikan kapasiti yang diperlukan tersedia bagi menjayakan sasaran yang ditetapkan dalam PSPN.
“Jika PSPN menentukan ke mana kita ingin pergi, RTKP pula memastikan kita mempunyai keupayaan untuk sampai ke sasaran tersebut.
“Keupayaan ini merangkumi aspek kewangan, modal insan, kepimpinan, kompetensi profesional, kepakaran teknologi, penyelidikan, inovasi serta penyelarasan merentasi agensi kerajaan dan ekosistem pertahanan,” katanya lagi.






