Lori bawa 70 batang kayu tanpa permit bernilai RM107,000 ditahan PGA

CUBAAN mengangkut puluhan batang kayu hutan tanpa permit dipercayai untuk dihantar ke sebuah kilang terbongkar selepas sebuah lori ditahan dalam operasi di Kampung Repek, Pasir Mas, semalam.

Komander Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ahmad Radzi Hussain berkata, operasi menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan itu membawa kepada rampasan 70 batang kayu hutan bersama sebuah lori dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM107,000.

Menurut beliau, operasi kira-kira jam 6.45 petang itu dijalankan anggota Strike Force Kompeni B Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Tanah Merah.

“Hasil rondaan, pasukan menahan sebuah lori jenis Hino berwarna hijau yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan berkenaan.

“Pemeriksaan pada bahagian muatan belakang kenderaan menemukan 70 batang kayu hutan dipercayai diangkut tanpa permit atau dokumen sah daripada pihak berkuasa berkaitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pemandu kenderaan gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan permit pemindahan kayu kepada anggota bertugas.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984.

“Siasatan awal mendapati suspek mendakwa mengambil kayu berkenaan dari kawasan kebun di Kampung Tok Rusa, Meranti sebelum dihantar ke sebuah kilang kayu di sekitar Pusu 40, Pasir Mas dengan upah RM40 bagi setiap perjalanan.

“Kes dan barang rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Jajahan Tanah Merah untuk tindakan lanjut,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img