Kes rasuah bekas PTD: 23 jam Rolex, 15 barang kemas dirampas SPRM dilucut hak kepada kerajaan

SEBANYAK 23 utas jam tangan Rolex dan 15 barang kemas yang disita oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada adik ipar bekas Panglima Tentera Darat (PTD), Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dilucut hak kepada kerajaan.

Adik ipar berkenaan dikenal pasti sebagai Nor Shahirah Athirah Anuar @ Kamaruddin.

Timbalan Pendakwa Raya Mahadi Abdul Jumaat berkata, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Rosli Ahmad membuat keputusan itu hari ini selepas tiada pihak ketiga tampil menuntut aset terbabit.

“Mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk pelucuthakan. Bagaimanapun, tiada pihak ketiga tampil menuntut aset berkenaan,” katanya.

Sebelum ini, SPRM memohon perintah mahkamah bagi menyiarkan notis warta menggesa mana-mana pihak yang mempunyai kepentingan terhadap aset itu tampil mengemukakan tuntutan mengikut Seksyen 41(2) Akta SPRM 2009.

Pada 4 Mei lalu, pihak pendakwaan memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap Nor Shahirah bagi menyita 23 jam tangan Rolex dan 15 barang kemas terbabit.

Permohonan dibuat mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM yang dibaca bersama Seksyen 376 Kanun Tatacara Jenayah atas alasan aset berkenaan tertakluk kepada pelucuthakan kerana tiada pendakwaan jenayah dimulakan di bawah akta itu.

Media pada 10 Januari lalu melaporkan, SPRM merampas barangan bernilai RM2.2 juta dalam dua bagasi ketika serbuan di kediaman isteri Muhammad Hafizuddeain, Salwani Anuar @ Kamaruddin di Pantai Timur.

Memetik sumber, 23 jam tangan Rolex pelbagai model itu dianggarkan mempunyai nilai pasaran RM2 juta, manakala barang kemas yang disita bernilai RM225,000 dipercayai milik individu yang disyaki bersubahat.

 

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img