Operasi Lapangan Terbang Labuan tergendala susulan penemuan bom lama dekat landasan

OPERASI penerbangan di Lapangan Terbang Labuan terganggu susulan penutupan sementara landasan selepas penemuan beberapa bom lama pada jarak kira-kira 150 meter dari landasan berkenaan.

Menurut Notis kepada Juruterbang (NOTAM) yang dimuat naik menerusi Facebook Malaysia Airports Holding Berhad (MAHB), penutupan sementara landasan itu dimaklumkan oleh Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada jam 5 petang ini sehingga dimaklumkan kelak.

TUDM bersama pihak pengurusan lapangan terbang kini menjalankan pemeriksaan bersama di kawasan landasan dan operasi hanya akan disambung semula selepas pemeriksaan selesai serta kelulusan keselamatan dikeluarkan.

Penutupan itu menyebabkan beberapa penerbangan dari Labuan ke Miri dan Kota Kinabalu dibatalkan, manakala beberapa lagi penerbangan ketibaan dan pelepasan terpaksa dilencongkan, ditangguhkan atau mengalami perubahan operasi.

Penumpang yang dijadualkan menggunakan perkhidmatan penerbangan ke dan dari Labuan dinasihatkan mendapatkan maklumat terkini mengenai status penerbangan dan urusan perjalanan masing-masing dengan syarikat penerbangan sebelum ke lapangan terbang, lapor Bernama.

Maklumat lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Tinjauan di Lapangan Terbang Labuan mendapati beberapa penerbangan bermula pukul 4.05 petang, 5.15 petang, 6.05 petang, 6.15 petang dan 7.25 malam ke Kuala Lumpur, Kota Kinabalu serta Miri terjejas susulan insiden itu.

Sumber memaklumkan bahan letupan yang dipercayai bom peninggalan era Perang Dunia Kedua itu ditemukan di tapak projek pembaikan cerun di Jalan Persisiran Pantai Kerupang.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img