Premis disyaki kaitan ajaran Syiah diserbu, 226 individu diperiksa

SERAMAI 226 individu termasuk wanita dan kanak-kanak diperiksa dalam serbuan ke atas sebuah premis di Pusat Perdagangan Lagoon Perdana, Subang Jaya yang dipercayai mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah, malam Khamis.

Operasi bersepadu yang diketuai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu dijalankan pada jam 9.34 malam hasil maklumat awam yang diterima berhubung aktiviti disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran berkenaan.

Turut terbabit dalam operasi itu ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ).

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, hasil pemeriksaan mendapati seramai 147 lelaki, 51 wanita dan 28 kanak-kanak berada di dalam premis terbabit.

Menurutnya, mereka terdiri daripada warga Pakistan, India dan Bangladesh.

“Susulan pemeriksaan yang dijalankan, MBSJ turut mengeluarkan Notis Pemberitahuan di bawah Subseksyen 72(1)(a) dan (c) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta 133] membabitkan beberapa ketidakpatuhan berkaitan pembinaan dan pengubahsuaian bangunan tanpa kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Pemilik premis turut diberikan tempoh 14 hari untuk mematuhi kehendak notis yang dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan JAIS dalam operasi itu merujuk kepada Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 melibatkan siasatan di bawah Seksyen 12(c) berkaitan menghina pihak berkuasa agama, Seksyen 13 mengenai penyebaran pendapat yang bertentangan dengan fatwa dan Seksyen 16 berkaitan penerbitan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Katanya, siasatan dijalankan susulan aduan yang diterima berhubung aktiviti yang disyaki mempunyai kaitan dengan ajaran Syiah.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan ajaran berkenaan supaya menyalurkannya kepada Hotline JAIS bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

“JAIS turut menasihatkan umat Islam supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti berkaitan ajaran Syiah,” katanya.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img