JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Terengganu berjaya mematahkan aktiviti penyeludupan rokok pelbagai jenama dengan nilai rampasan lebih RM800,000 melalui empat siri serbuan, sejak April lalu.
Pengarahnya, Hasbollah Din berkata, kes pertama pada jam 8 malam, 25 April lalu, apabila Pasukan Penguatkuasaan Marin JKDM Terengganu berjaya menjejaki sebuah kenderaan disyaki mengangkut rokok seludup di tebing Sungai Kelantan, Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan.
Menurutnya, kenderaan itu diekori sebelum ditahan bagi tujuan pemeriksaan.
“Bagaimanapun pemandu kenderaan itu bertindak agresif dengan melarikan diri sehingga merempuh penghadang jalan sebelum meninggalkan kenderaan itu di Wakaf Bharu.
“Pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemukan sejumlah kotak berisi rokok putih disyaki tidak berkastam sebanyak 200,000 batang,” katanya dalam sidang media di Stor Penguatkuasaan JKDM, Jalan Panji Alam di Kuala Terengganu hari ini.
Menurut beliau, nilai rokok itu dianggarkan RM42,000 dengan duti dan cukai sebanyak RM140,600 manakala kenderaan terbabit juga disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.
Katanya, bagi kes kedua pada jam 12.45 tengah malam, 16 April lalu, Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kuala Terengganu menjalankan intipan ke atas sebuah lot premis kedai runcit di Besut, Terengganu.
“Ketika intipan dijalankan, kami melihat sebuah kereta Nissan tiba di lokasi dan diparkir bersebelahan Perodua di tepi bangunan premis kedai runcit itu.
“Pemandu Nissan dilihat memasuki premis berkenaan, kemudian keluar semula bersama seorang individu lain dan bergerak menuju ke lokasi motokar yang diparkir,” katanya.
Menurutnya, pihaknya kemudian melakukan serbuan selepas melihat kedua-dua individu berkenaan mengangkat sebuah peti dari Nissan ke Perodua.
Katanya, rampasan mendapati peti diangkut mengandungi barang larangan import iaitu rokok sebelum kedua-dua individu berkenaan ditahan manakala rokok dan kereta disita.
“Serbuan itu berjaya menyita 10,000 batang rokok dianggarkan bernilai RM2,000 melibatkan jumlah cukai sebanyak RM7,020 dengan jumlah keseluruhan nilai rampasan termasuk cukai adalah RM9,020,” katanya.
Dalam serbuan ketiga pula beliau berkata, pada jam 4 petang, 20 April lalu, melalui Ops Peteh, JKDM Kuala Terengganu menjalankan serbuan ke atas sebuah kabin di tapak pembinaan terbiar di Besut, Terengganu.
“Pemeriksaan ke atas kabin itu menemukan 40 peti rokok putih berjumlah 400,000 batang yang tidak bersetem cukai disyaki barang tidak berkastam.
“Nilai rokok tersebut dianggarkan sebanyak RM44,000 dengan duti dan cukai sebanyak RM277,200 menjadikan jumlah keseluruhan nilai sitaan termasuk duti dan cukai sebanyak RM321,200,” katanya.
Menurutnya, serbuan keempat pada jam 12.30 tengah malam, 3 Mei lalu, apabila JKDM Terengganu menyerbu sebuah premis di Kota Bharu.
“Pemeriksaan menemukan rokok putih dan kretek disyaki tidak berkastam di dalam sebuah kenderaan jenis Nissan Navara di kawasan berpagar premis itu serta di bilik bahagian tengah rumah berkenaan.
“Jumlah keseluruhan rokok yang ditemukan adalah sebanyak 334,736 batang dengan anggaran nilai RM60,552 manakala duti dan cukai terlibat berjumlah RM234,345,” katanya.






