PENGGUNA sistem transit aliran ringan (LRT) 3 laluan Shah Alam dan bas perantara di sepanjang jajaran itu akan menikmati perkhidmatan percuma selama sebulan bermula esok hingga 31 Julai depan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam susulan pembukaan rasmi laluan berkenaan.

“Bermula 29 Jun hingga 31 Julai, tambang perkhidmatan LRT laluan Shah Alam dan bas perantara sepanjang laluan Shah Alam akan diberikan secara percuma selama satu bulan,” katanya ketika melancarkan LRT3 di Depoh LRT Johan Setia di Klang hari ini.
Anwar berkata, penggunaan pengangkutan awam mampu mengurangkan kesesakan lalu lintas, sekali gus menjimatkan masa perjalanan, penggunaan bahan api dan pelepasan karbon.

Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya mempercepatkan proses kelulusan projek tanpa mengabaikan aspek integriti dan tadbir urus.
“Kadang-kadang urusan yang patut diberi dalam tempoh dua minggu atau dua bulan jadi lapan bulan.
“Maksudnya, hal yang boleh kita lakukan. Orang yang menunggu rumah siap itu, satu bulan pun satu beban,” katanya.
Perdana Menteri turut menyokong cadangan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke untuk membangunkan kawasan sekitar stesen LRT menerusi konsep pembangunan berorientasikan transit (TOD), dengan memberi keutamaan kepada pembinaan perumahan rakyat serta ruang perniagaan kecil.
Pada 22 Jun lalu, Anthony dilaporkan berkata, LRT 3 laluan Shah Alam melengkapkan rangkaian pengangkutan awam moden di Lembah Klang dengan menghubungkan kawasan kediaman, pusat komersial, institusi pendidikan, hospital dan kawasan perindustrian.
LRT 3 laluan Shah Alam sepanjang 37.8 kilometer menghubungkan Bandar Utama di Petaling Jaya dengan Johan Setia di Klang menerusi 20 stesen, dan akan mula beroperasi kepada orang ramai esok.
Laluan itu turut dihubungkan dengan rangkaian MRT Kajang di Bandar Utama serta LRT Kelana Jaya di Glenmarie, sekali gus memperluaskan rangkaian pengangkutan awam di koridor barat Lembah Klang.






