POLIS menahan seorang pemandu kereta yang dipercayai melanggar sebuah motosikal hingga menyebabkan penunggangnya terjatuh dalam satu kejadian di Jalan Oya berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan St. Elizabeth, Sibu, hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Zulkipli Suhaili berkata, kejadian itu tular di media sosial selepas satu rakaman video berdurasi satu minit 29 saat dimuat naik di laman Facebook.
“Pemandu kereta terbabit telah melarikan diri selepas melanggar motosikal dan turut melanggar beberapa kenderaan lain di sekitar lokasi,” ujarnya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata, suspek berjaya ditahan tidak lama kemudian bagi membantu siasatan dan hasil ujian awal air kencing mendapati lelaki terbabit positif dadah jenis amphetamine.
Susulan itu, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sibu membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya di jalan awam.


