IDENTITI dua penuntut universiti yang rentung dalam kemalangan membabitkan sebuah kereta BMW di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) akhirnya disahkan selepas keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) diperoleh semalam sebelum mayat mereka diserahkan kepada keluarga masing-masing.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, sampel DNA kedua-dua mangsa dihantar ke Jabatan Kimia Petaling Jaya pada jam 8 pagi semalam untuk tujuan analisis.
“Hasil analisis mengesahkan bahawa DNA kedua-dua mangsa sepadan dan positif dengan ibu bapa masing-masing.
“Susulan itu, mayat kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada pihak keluarga pada jam 6.30 petang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, polis memaklumkan proses pengecaman melalui ujian DNA diperlukan bagi melengkapkan identiti mangsa berikutan keadaan mayat yang rentung dalam kejadian berkenaan.
Dalam perkembangan sama, polis turut merakam keterangan seorang penumpang warga Singapura berusia 20 tahun yang terselamat dalam kemalangan itu bagi membantu siasatan.
Kenderaan BMW yang terbabit juga akan dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk pemeriksaan teknikal sebagai sebahagian daripada siasatan.
Media sebelum ini melaporkan dua penuntut universiti rentung selepas kereta dinaiki mereka terbakar dalam kemalangan di Lebuhraya DUKE.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.10 pagi itu, kereta dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun dipercayai dipandu laju sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya ketika dalam perjalanan dari Jalan Duta menghala ke Selayang sebelum terbakar.
Insiden itu menyebabkan dua penumpang maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi penumpang warga Singapura berjaya diselamatkan.






