BMW dipandu laju terbabas dan terbakar, dua penuntut universiti rentung

DUA penuntut universiti rentung selepas kereta BMW 328i Sport dinaiki mereka terbabas dan terbakar di Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE), pukul 5.10 pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kereta terbabit dari arah Jalan Duta menghala Selayang dipercayai dipandu lelaki tempatan berusia 22 tahun sebelum hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri lebuh raya lalu terbakar.

“Kereta tersebut dipercayai dipandu pada kelajuan tinggi sebelum hilang kawalan dan terbabas lalu melanggar pembahagi jalan di sebelah kiri jalan sehingga menyebabkan kenderaan terbakar,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Punca kemalangan dipercayai pemandu gagal mengawal kenderaan, tambahnya.

Beliau berkata, pemandu yang juga penuntut universiti di Australia bersama penumpang hadapan, lelaki berusia 21 tahun penuntut universiti swasta tempatan, disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Mereka dipercayai terperangkap dalam kenderaan yang terbakar.

Seorang lagi penumpang, warga Singapura berusia 20 tahun yang berada di tempat duduk belakang sempat keluar dari kenderaan sebelum ia terbakar.

“Mangsa yang terselamat itu mengalami kecederaan ringan pada tangan dan kaki sebelum dibawa ke HKL untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, polis sedang menjalankan siasatan lanjut, termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sekitar lokasi dan mengambil keterangan mangsa terselamat.

“Proses pengecaman identiti kedua-dua mangsa yang rentung akan dijalankan melalui analisis DNA,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img