Kerajaan pastikan penurunan harga minyak dunia diterjemah kepada harga barangan lebih rendah

Krisis Bekalan Global

KERAJAAN akan terus memantau penurunan harga minyak dunia dan memastikan aliran penurunan itu diterjemahkan kepada harga barangan yang lebih rendah untuk pengguna.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, walaupun Malaysia berjaya mengekang kenaikan harga yang ketara ketika krisis tenaga melalui pelaksanaan subsidi bersasar seperti BUDI MADANI dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), tumpuan kerajaan kini memastikan manfaat daripada trend penurunan harga tenaga turut dinikmati pengguna.

AKMAL Nasrullah Mohd Nasir

“Apabila harga menunjukkan trend menurun, inilah peluang untuk kita memastikan penurunan itu seiring dengan kos tenaga yang menurun.

“Oleh itu, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu memastikan tidak berlaku elemen pencatutan atau tindakan mengambil kesempatan sehingga beban itu terus ditanggung oleh pengguna dalam keadaan kos operasi telah mula menurun,” katanya pada sesi penerangan mengenai krisis bekalan global di Dewan Rakyat hari ini.

Akmal Nasrullah berkata, selain memantau harga, kerajaan turut memberi perhatian kepada kedudukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi memastikan aliran tunai syarikat terus kukuh dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi.

Tambah beliau, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menyediakan dana Kemudahan Bantuan Kestabilan PKS (SME SRF) sebanyak RM5 bilion untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk PMKS yang terjejas oleh konflik semasa di Asia Barat.

Menurutnya, lebih 1,000 PMKS telah mengguna pakai kemudahan itu dengan nilai berjumlah RM700 juta telah diluluskan.

Mengenai langkah kerajaan dalam mendepani ketidaktentuan ekonomi akibat konflik geopolitik, katanya kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada agenda pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) bagi memperkukuh daya tahan ekonomi negara dan mengurangkan kebergantungan pada aktiviti bernilai rendah.

“Kita perlu komited ke arah industri HGHV supaya kita tidak bergantung pada nilai yang rendah atau sederhana selama-lamanya. Sebagai contoh, apabila bercakap mengenai semikonduktor, Malaysia bukan baharu dari segi semikonduktor pada peringkat global.

“Namun, kekuatan kita masih bergantung pada ‘back-end’ atau kedudukan di rantaian yang agak rendah untuk keseluruhan semikonduktor.

“Justeru, intervensi yang boleh kita buat, termasuk membawa akses kepada hak milik intelek (IP) itu sendiri, bagaimana untuk menembusi ke arah front-end atau pada peringkat penciptaan semikonduktor. Perubahan sedang berlaku sekarang,” katanya lagi.

Akmal Nasrullah berkata, antara usaha nyata adalah kerjasama dengan ARM Limited apabila 19 token telah dianugerahkan dengan sasaran untuk menghasilkan cip yang direka oleh Malaysia menjelang 2030.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img