Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tidak bincang isu berkaitan Bersatu

MESYUARAT Jawatankuasa Kerja Pas Pusat yang berlangsung hari ini tidak membincangkan sebarang perkara berkaitan kerjasama dengan parti Bersatu.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Awang Hashim berkata, mesyuarat itu sebaliknya memberi tumpuan kepada persiapan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Kita dalam gabungan Perikatan Nasional (PN). Tiada perbincangan mengenai Bersatu,” katanya ringkas kepada pemberita di hadapan Pejabat Agung Pas di ibu negara hari ini.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya selepas memperngerusikan mesyuarat itu memaklumkan, antara perkara yang diputuskan termasuk mempertahankan kuasa politik Melayu-Islam di Johor, menggerakkan seluruh jentera Pas di 11 kerusi yang ditandingi, serta menyantuni seramai mungkin pengundi daripada pelbagai lapisan masyarakat menerusi slogan `Jom Jaga Johor’.

Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut menyeru supaya pengundi Pas tidak memilih calon Pakatan Harapan (PH), termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Barisan Nasional (BN) dan PH.

Selain itu, Pas juga memutuskan untuk menggerakkan persiapan awal bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.

Antara yang hadir ialah Pengarah Pilihan Raya Pas Johor, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud; Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff; dan Pengerusi PN Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

PRN Johor pada 11 Julai ini menyaksikan PN bertanding di 33 kerusi, dengan Bersatu diperuntukkan kerusi paling banyak iaitu 16, diikuti Pas (11), Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) (lima) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) (satu).

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img