“INI adalah sesuatu yang tidak pernah berlaku (unprecedented). Pertama kali dalam amalan (guaman) saya dan pertama kali dalam pengalaman saya.”
Demikian kata peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman susulan Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan rayuan akhir pendakwaan terhadap pembebasan anak guamnya kepada 13 Julai depan.
Ia membabitkan empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan pengubahan wang haram membabitkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) yang dihadapi Syed Saddiq.
Hisyam berkata, keputusan itu dimaklumkan oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Seri Abu Bakar Jais yang memberitahu penghakiman sudah siap, namun tidak dapat dibacakan hari ini kerana salah seorang daripada panel hakim tidak sihat.
“Kami baru sahaja dimaklumkan oleh Yang Arif Presiden Mahkamah Rayuan bahawa keputusan sudah sedia, namun tidak dapat disampaikan pagi ini memandangkan salah seorang ahli korum tidak sihat.
“Oleh itu, kes ini ditangguhkan ke tarikh 13 Julai bulan depan,” katanya ketika ditemui di lobi Istana Kehakiman di Putrajaya hari ini.
Terdahulu, Abu Bakar dilaporkan berkata, prosiding pada hari ini tidak dapat diteruskan selepas salah seorang anggota panel iaitu Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, tidak dapat menghadiri prosiding kerana sedang menjalani cuti sakit selama dua hari, iaitu hari ini dan esok.






