Padah tekup muka kekasih hingga mati, bekas mekanik dipenjara 32 tahun

TINDAKAN seorang bekas mekanik menekup wajah kekasihnya menggunakan bantal sehingga wanita itu tidak lagi bernafas membawa padah apabila Mahkamah Tinggi Klang hari ini menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dan 12 sebatan selepas dia didapati bersalah atas pertuduhan membunuh.

Hakim Norliza Othman membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap tertuduh, Amirul Amin Amirruddin, 23, di akhir kes pembelaan.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman dijalankan bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 24 Ogos 2022.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh Nurul Shahira Abdullah, 24, di sebuah rumah di Lorong Haji Mahat, Kampung Sri Pandan, Klang pada jam 7.18 petang dan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dalam penghakimannya, Norliza berkata, laporan bedah siasat yang disahkan pakar patologi mendapati punca kematian mangsa adalah akibat lemas selepas wajahnya ditekup menggunakan bantal.

Menurut beliau, ketika pemeriksaan balas, tertuduh sendiri mengakui melihat mangsa bernafas perlahan dan tersekat ketika tindakan itu dilakukan serta menyedari perbuatannya boleh menghalang mangsa bernafas kerana keseluruhan muka ditutup.

“Tertuduh menghentikan perbuatan itu selepas mendapati mangsa tidak lagi melawan dan bernafas.

“Mahkamah mendapati tiada unsur provokasi melampau sehingga menyebabkan tertuduh bertindak sedemikian. Tertuduh mempunyai masa untuk memilih tindakan lebih rasional bagi menenangkan si mati,” katanya.

Mahkamah turut menerima hujahan bahawa kejadian berpunca daripada pertengkaran apabila tertuduh enggan menandatangani surat perjanjian yang diminta mangsa supaya dia tidak meninggalkannya.

Norliza turut menyifatkan keterangan pembelaan tertuduh secara bersumpah di kandang saksi hanya berbentuk penafian semata-mata.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Farah Aqilah Ahmad Fuad manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Norazihan Adnan dan Evie Melynda Jee.

Sebelum ini, tertuduh dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun mengikut Seksyen 304B Kanun Keseksaan pada 17 Oktober tahun lalu.

Namun, Mahkamah Rayuan kemudian membenarkan rayuan pendakwaan dan mengarahkan tertuduh membela diri semula di Mahkamah Tinggi Klang atas pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img