Lelaki warga Indonesia dipenjara seumur hidup, sorok syabu dalam seluar dalam

MAHKAMAH Tinggi Tawau hari ini menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup serta 12 sebatan terhadap seorang lelaki warga Indonesia yang didapati bersalah menyeludup lebih satu kilogram syabu di Terminal Feri Tawau, dua tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Steve Ritikos menjatuhkan hukuman itu terhadap Amriadi, 40, selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

Dalam penghakimannya beliau berkata, mahkamah mengambil kira fakta bahawa tertuduh ditahan ketika cuba meninggalkan Malaysia melalui Terminal Feri Tawau, sekali gus menunjukkan kesungguhannya melakukan kesalahan itu walaupun mengetahui pemeriksaan keselamatan dijalankan di terminal berkenaan.

Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang anak perempuan yang bekerja sebagai petani di Sulawesi Selatan itu didakwa mengedar 1,078.9 gram methamphetamine di tempat pemeriksaan penumpang Terminal Feri Tawau pada jam 9.45 pagi, 11 Oktober 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Sepanjang prosiding yang bermula pada 10 Mac lalu, pihak pendakwaan memanggil lima saksi untuk memberi keterangan, manakala pihak pembelaan hanya mengemukakan tertuduh sebagai saksi tunggal.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh ditahan ketika hendak menaiki feri dari Terminal Feri Tawau ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Pemeriksaan badan mendapati dia memakai bengkung hitam, manakala lima bungkusan syabu disembunyikan di dalam seluar dalam wanita yang dipakainya, selain sejumlah lagi dadah ditemukan pada tapak kasutnya namun berjaya dikesan anggota keselamatan bertugas.

Tertuduh diwakili peguam Jhesseny P Kang, manakala pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img