KEMENTERIAN Kewangan (MoF) hari ini mengumumkan harga runcit RON97 diturunkan sebanyak 10 sen kepada RM4 seliter, manakala harga runcit RON95 tanpa subsidi diturunkan sebanyak 10 sen kepada RM3.37 seliter mulai esok hingga 8 Julai depan.
Menurut kenyataan dikeluarkan kementerian itu, harga runcit diesel tanpa subsidi pula diturunkan sebanyak 10 sen kepada RM3.97 seliter.
MoF berkata, harga runcit petrol dan diesel bagi minggu ini diumumkan hari ini bagi menyelaraskan tempoh harga baharu dengan pelaksanaan BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) mulai esok.
BUDI Diesel akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2026 membolehkan rakyat Malaysia yang layak membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak seluruh negara.

“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi bagi minggu ini diturunkan berikutan penyusutan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
“Harga pasaran petroleum antarabangsa terus menyederhana berbanding paras tertinggi yang dicatatkan semasa kemuncak krisis Asia Barat.
“Perkembangan ini disokong oleh tanda-tanda pemulihan aliran bekalan global serta jangkaan bahawa rundingan berkaitan konflik tersebut dapat mengurangkan risiko gangguan bekalan minyak mentah,” kata kenyataan MoF tersebut.

Namun begitu, kata MoF, pasaran petroleum global masih belum kembali sepenuhnya stabil dan risiko terhadap harga minyak mentah, kos penghantaran dan kestabilan bekalan masih kekal selagi konflik belum mencapai penyelesaian muktamad, manakala pemulihan rantaian bekalan juga mengambil masa.
Menurut kementerian itu, walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan MADANI menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
Tambahnya, perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin,” kata MoF.





