Pendaki Gunung Jerai ditemukan selamat selepas hilang tiga hari terjatuh gaung

SEORANG lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai terjatuh ke dalam gaung ketika mendaki Gunung Jerai di Yan Ahad lalu ditemukan selamat selepas hampir tiga hari terperangkap di kawasan curam.

Mangsa berusia 34 tahun ditemukan kira-kira 20 meter dari tebing gaung di kawasan Padang Tok Sheikh, Gunung Jerai hasil tindakan pantas pasukan penyelamat yang digerakkan selepas menerima panggilan kecemasan.

ANGGOTA bomba dan penyelamat membantu seorang pendaki yang terjatuh gaung ketika mendaki Gunung Jerai di Yan malam tadi. GAMBAR: JBPM Kedah

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu menerusi talian pada jam 7.30 malam tadi sebelum mengarahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Guar Chempedak ke lokasi.

Menurutnya, operasi diketuai Komander Operasi Kanan Ahmad Naufal Abdullah dengan bantuan sembilan anggota bomba serta beberapa aset termasuk sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dan kenderaan pacuan empat roda.

“Sebaik tiba di lokasi pada jam 8.02 malam, pasukan penyelamat menemukan tiga individu yang sedang mendaki kawasan berkenaan dan memaklumkan mereka terdengar suara seseorang meminta pertolongan dari arah gaung.

“Hasil maklumat awal, mangsa dipercayai berada pada kedudukan kira-kira 15 hingga 20 meter dari tebing dan orang awam memaklumkan lelaki itu dipercayai hilang hampir tiga hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

JBPM Kedah berkata, anggotanya kemudian melakukan pemeriksaan lanjut dan cuba menghubungi mangsa dari atas tebing, namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Menurutnya, susulan itu, operasi menyelamat menggunakan sistem tali dan peralatan khas penyelamatan di kawasan curam dilaksanakan bagi membolehkan anggota turun ke dalam gaung.

“Usaha tersebut berjaya apabila mangsa ditemukan dalam keadaan selamat walaupun terperangkap selama beberapa hari di kawasan berisiko tinggi itu.

“Berdasarkan temu bual awal, mangsa memaklumkan dia mendaki Gunung Jerai secara bersendirian pada Ahad sebelum tergelincir dan terjatuh ke dalam gaung, ” ujarnya.

Tambahnya, mangsa juga menjelaskan, semua barangan peribadinya hilang semasa kejadian menyebabkan dia tidak dapat menghubungi sesiapa untuk mendapatkan bantuan.

Katanya, pasukan bomba kemudian memasang body harness dan menggunakan sistem tali bagi membawa mangsa naik semula ke tebing dengan selamat.

“Mangsa berjaya dibawa keluar pada jam 9.37 malam sebelum menjalani pemeriksaan awal oleh pasukan penyelamat.

“Pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan serius dan berada dalam keadaan stabil,” katanya lagi.

Mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tujuan dokumentasi serta pengambilan keterangan sebelum dihantar ke Hospital Sungai Petani bagi mendapatkan pemeriksaan dan rawatan lanjut.

Operasi yang turut mendapat bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) itu ditamatkan sepenuhnya pada jam 11.36 malam tadi selepas kawasan kejadian disahkan selamat.

 



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img