KPDN Selangor lumpuh kegiatan seleweng 190 tong LPG bersubsidi

SEBANYAK 190 tong gas petroleum cecair (LPG) pelbagai jenama dipercayai diseleweng berjaya dirampas Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor dalam serbuan Ops Tiris 4.0 (Bersepadu) di sebuah premis di Sungai Pelek, semalam.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa’ari berkata, serbuan yang dijalankan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) kira-kira jam 2.10 petang itu berjaya melumpuhkan kegiatan pemindahan gas atau decanting yang dipercayai melibatkan LPG bersubsidi untuk dijual semula kepada sektor industri.

“Hasil pemeriksaan mendapati aktiviti dijalankan dengan memindahkan LPG bersubsidi daripada tong 14 kilogram (kg) ke tong gas komersial 50kg sebelum dijual pada harga lebih rendah berbanding pasaran.

“Dalam operasi itu, seorang lelaki tempatan turut ditahan bagi membantu siasatan awal,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Muhamad Hanif berkata, pasukan serbuan turut menemui peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan berkenaan termasuk hos penyambung dan beberapa bungkusan ais yang dipercayai digunakan dalam proses pemindahan gas menggunakan kaedah konvensional.

“Siasatan awal mendapati bekalan LPG subsidi dipercayai diperoleh daripada pemborong berlesen sekitar Banting, Tanjung Sepat dan Sungai Pelek sebelum diagihkan semula secara tidak sah. KPDN kini meneliti keseluruhan rantaian pembekalan bagi mengenal pasti pihak yang terlibat.

“Turut disita dalam operasi itu ialah sebuah lori bonded dengan keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM56,000,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan tindakan lanjut akan diambil terhadap individu atau syarikat yang terbabit dalam kegiatan penyelewengan berkenaan.



IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB :
Utusan Melayu Plus
IG:
Utusan Melayu Plus
TikTok:
@utusanmelayuplusofficial
Threads:
@utusanmelayuplus
Whatapps Channel:
Utusan Melayu Plus


Terkini

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img