KEMENTERIAN Kewangan (MOF) meluluskan lebih 30,000 permohonan untuk meningkatkan had kelayakan Program BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) daripada 200 kepada 300 liter sebulan, bagi memenuhi keperluan pengguna yang menggunakan bakar api itu dalam kuantiti lebih tinggi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kemudahan itu diperkenalkan selepas kerajaan mengambil kira maklum balas daripada golongan peniaga kecil, penjaja serta penyedia perkhidmatan yang beroperasi di kawasan pedalaman.
“Dalam pelaksanaan BUDI Diesel, kerana kita memahami sasaran program ini termasuk mereka yang mungkin peniaga kecil, penjaja dan mereka yang membuat perkhidmatan untuk penduduk di pedalaman, jadi penggunaannya mungkin lebih sedikit.
“Jadi, kita juga membuka ruang untuk mereka memohon kuota yang lebih, daripada 200 liter kepada 300 liter. Sehingga semalam, lebih daripada 30,000 orang sudah memohon dan mendapat kelulusan dalam aplikasi yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas meninjau pelaksanaan hari pertama program BUDI Diesel di sebuah stesen minyak di Presint 8, Putrajaya hari ini.
MoF sebelum ini memaklumkan pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak boleh memohon tambahan kuota 100 liter sebulan melalui portal rasmi BUDI MADANI, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Amir Hamzah berkata, pelaksanaan BUDI Diesel di seluruh negara bermula hari ini berjalan lancar, selepas akses awal diperkenalkan di Semenanjung sejak 27 Jun lalu.
Katanya, dalam tempoh akses awal itu, hampir 80,000 pengguna sudah memanfaatkan kemudahan berkenaan.
Beliau berkata, kerajaan turut melaksanakan beberapa penambahbaikan terhadap program itu, termasuk membenarkan pemindahan kuota kepada ahli keluarga terdekat, seperti kenderaan didaftarkan atas nama anak tetapi digunakan oleh ibu bapa.
“Sehingga semalam, lebih daripada 1,000 orang sudah memohon untuk penukaran kuota kepada ahli keluarga (terdekat) mereka yang lain,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, penggunaan BUDI Diesel kini lebih mudah dengan mekanisme yang hampir sama seperti BUDI RON95, selain syarikat minyak turut memperkenalkan inovasi seperti penggunaan aplikasi maya dan petugas stesen yang membantu pelanggan di pam bagi mempercepatkan urusan.
Mengulas mengenai kemampuan kerajaan meneruskan pemberian subsidi susulan penurunan harga minyak dunia, Amir Hamzah berkata, pendekatan kerajaan adalah memastikan setiap penjimatan hasil pengurangan ketirisan subsidi dipulangkan semula kepada rakyat.
Beliau berkata, program BUDI Diesel menjadi contoh bagaimana penjimatan daripada penyasaran subsidi membolehkan kerajaan mengurangkan harga diesel bersubsidi daripada RM2.15 seliter kepada RM2.10 seliter.
“Kita kena memahami pendekatan kerajaan ialah untuk memberikan subsidi secara bersasar. Dengan pendekatan ini, apabila kita ada ruang untuk memberi lebih, kita akan mencari jalan.
“Kalau kita ambil BUDI Diesel sebagai contoh, apabila kita dapat mengurangkan ketirisan, sebahagian daripada penjimatan itu kita pulangkan kepada rakyat dan inilah antara usaha kerajaan yang diteruskan,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan terkini di Asia Barat yang menunjukkan ketegangan semakin reda turut memberi petanda positif kepada kestabilan bekalan dan harga minyak dunia.
“Kalau kita tengok, sudah lebih dua minggu isu di Asia Barat mula reda. Saya tidak kata sudah habis, tetapi sudah nampak petanda yang baik. Isu bekalan minyak dunia juga semakin reda.
“Alhamdulillah, Malaysia berada dalam keadaan yang baik dan insya-Allah akan terus berada dalam keadaan seperti ini,” katanya.






